Connect with us

Antarabangsa

Imran Khan dibenar ikat jamin

Mahkamah semalam membenarkan bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, diikat jamin atas pertuduhan baharu bersubahat dengan penyokongnya melakukan keganasan terhadap tentera.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Imran Khan dibenar ikat jamin
Foto: Bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan.
  • Mahkamah semalam membenarkan bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, diikat jamin atas pertuduhan baharu bersubahat dengan penyokongnya melakukan keganasan terhadap tentera.
  • Tindakan itu dibuat selepas penyokong Imran membantah penahanan beliau pada 9 Mei akibat kes rasuah.
  • Peguamnya, Intezar Hussain Punjotha, berkata Khan, 70, kemudiannya dibebaskan atas perintah mahkamah.
  • Beliau berkata, mahkamah antikeganasan mengesahkan jaminan atas pertuduhan baharu itu selepas bekas perdana menteri terbabit hadir dan mengemukakan bon penjamin.

LAHORE: Mahkamah semalam membenarkan bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, diikat jamin atas pertuduhan baharu bersubahat dengan penyokongnya melakukan keganasan terhadap tentera.

Tindakan itu dibuat selepas penyokong Imran membantah penahanan beliau pada 9 Mei akibat kes rasuah.

Peguamnya, Intezar Hussain Punjotha, berkata Khan, 70, kemudiannya dibebaskan atas perintah mahkamah.

Beliau berkata, mahkamah antikeganasan mengesahkan jaminan atas pertuduhan baharu itu selepas bekas perdana menteri terbabit hadir dan mengemukakan bon penjamin.

Imran menafikan pertuduhan dengan mengatakan beliau berada dalam tahanan ketika keganasan berlaku.

Ikat jamin diberikan mahkamah adalah sehingga 2 Jun atas pertuduhan baharu berkenaan.

Imran yang menyatakan tuduhan rasuah itu sengaja dicipta sebelum ini, terbabit dalam pertembungan dengan tentera yang berkuasa terhadap pemerintahan Pakistan.

Penahanannya pada 9 Mei lalu mencetuskan bantahan meluas oleh penyokongnya yang bertindak menggeledah pelbagai kemudahan ketenteraan.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan baharu berhubung kestabilan negara bersenjata nuklear itu ketika ia bergelut dengan krisis ekonomi terburuk dalam beberapa dekad.

Bekas bintang kriket antarabangsa itu menjadi perdana menteri pada 2018 dengan sokongan tentera secara diam-diam, walaupun kedua-dua pihak menafikannya ketika itu.

Beliau kemudiannya dijatuhkan jeneral dan digulingkan sebagai perdana menteri selepas kehilangan undi percaya pada 2022.

Sejak itu, Imran berkempen untuk pilihan raya mengejut, dengan perhimpunan bersama penyokongnya di seluruh negara, namun perdana menteri baharu, Shahbaz Sharif, menolak gesaan untuk pilihan raya sebelum ia ditetapkan hujung tahun ini.

Pergolakan itu memburukkan lagi krisis ekonomi Pakistan dengan inflasi dicatatkan pada paras tertinggi, selain wujudnya kebimbangan hutang luar negeri dilakukan kerajaan melainkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) membolehkan pinjaman tertunda.

Puluhan penyokong Imran diserahkan kepada pihak berkuasa tentera untuk dibicarakan di mahkamah tentera.

Pihak berkuasa yang menyiasat keganasan pada 9 Mei lalu memanggil Imran untuk disoal siasat namun menurut Punjotha, salah seorang ahli pasukan peguamnya akan mewakili beliau.

Imran sebelum ini merayu rundingan untuk menamatkan krisis namun kerajaan menolak gesaannya. – REUTERS

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *