Antarabangsa
‘Powerlifter’ lelaki pecahkan rekod transgender buktikan penyertaan mereka di acara wanita tidak adil
Seorang jurulatih angkat berat lelaki pecahkan rekod kategori wanita sukan itu sebagai tanda membantah peraturan pengenalan jantina tidak berasaskan biologi dalam sukan.
- Seorang jurulatih angkat berat lelaki Kanada, Avi Silverberg menyertai kategori wanita pertandingan Heroes Classic Powerlifting Meet di Lethbridge, Alberta.
- Avi berjaya memecahkan rekod bench press wanita bagi kategori atas 84 kilogram yang sebelum ini dipegang oleh seorang atlet lelaki transgender, Anne Andres.
- Avi berbuat demikian untuk membuktikan ketidak adilan yang berlaku apabila lelaki bersaing dalam kategori sukan yang sama dengan wanita.
- Canadian Powerlifting Union (CPU) pada Februari mengumumkan dasar baharu yang membenarkan penyertaan atlet transgender dalam kategori jantina pilihan mereka walaupun mereka belum menjalani terapi hormon.
Seorang jurulatih angkat berat lelaki pecahkan rekod kategori wanita sukan itu sebagai tanda membantah peraturan pengenalan jantina tidak berasaskan biologi dalam sukan.
Avi Silverberg yang merupakan jurulatih bagi pasukan Kanada ‘mengaku’ sebagai wanita untuk menyertai pertandingan Heroes Classic Powerlifting Meet bagi kategori tersebut di Lethbridge, Alberta.
Memetik laporan Reduxx, Avi cuba membuktikan betapa tidak adilnya apabila lelaki bersaing dalam kategori sukan yang sama dengan wanita.
Dalam pertandingan itu, Avi berjaya memecahkan rekod bench press wanita bagi kategori atas 84 kilogram.
Sebelum ini, rekod tersebut disandang Anne Andres, seorang lelaki transgender.
Ketika pertandingan itu, Anne duduk di barisan hadapan menyaksikan demonstrasi bantahan Avi yang telah secara tidak rasmi mengatasi rekod pencapaiannya dalam kategori tersebut.
Anne pernah memenangi lapan daripada sembilan pertandingan yang disertainya dalam kategori wanita dan disenaraikan sebagai wanita di laman kedudukan Open Powerlifting.
Dengan rekod yang dikecapinya menerusi kudrat lelaki, Anne pernah memandang rendah terhadap atlet wanita dalam sukan angkat berat itu menerusi satu hantaran video.
Dalam video itu, Anne mempersoalkan mengapa tahap piawaian pertandingan angkat berat bagi wanita adalah “sangat teruk”.
Awal tahun ini, Canadian Powerlifting Union (CPU) mengumumkan dasar pengenalan jantina baharu yang secara jelas membenarkan mana-mana lelaki yang mengaku sebagai wanita untuk bertanding di kategori wanita.
“Dasar Penyertaan Trans” yang dikeluarkan CPU pada Februari menyebut bahawa atlet angkat berat transgender boleh mengambil bahagian dalam kategori jantina pilihan mereka berdasarkan panduan daripada Pusat Etika dalam Sukan Kanada (CCES).
“Berdasarkan latar belakang ini dan bukti yang ada, Kumpulan Kerja Pakar berpendapat yang atlet trans perlu dibenarkan mengambil bahagian dalam jantina pilihan mereka, tidak kira sama ada mereka telah menjalani terapi hormon atau tidak,” sebut dokumen itu menurut kepada panduan “keterangkuman dalam sukan” daripada CCES.
Penyertaan transgender dalam sukan kategori pilihan mereka telah lama dibahaskan mengambil kira kesannya terhadap atlet wanita tulen.
Olahraga Dunia baru-baru ini mengumumkan mereka melarang atlet transgender yang telah melalui “akil baligh lelaki” daripada menyertai pertandingan wanita bertaraf dunia.
Sumber: Reduxx