Antarabangsa
Pihak berkuasa Iran pasang kamera litar tertutup kesan wanita langgar kod etika pakaian
Dalam usaha untuk mengekang semakin ramai wanita yang melanggar kod etika pakaian, pihak berkuasa Iran bertindak memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat awam dan jalan raya bagi mengenal pasti pesalah termasuk menghukum wanita yang tidak bertudung.
- Dalam usaha untuk mengekang semakin ramai wanita yang melanggar kod etika pakaian, pihak berkuasa Iran bertindak memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat awam dan jalan raya bagi mengenal pasti pesalah termasuk menghukum wanita yang tidak bertudung.
- Lapor Channel News Asia, selepas pesalah dikenal pasti menerusi CCTV, mereka akan menerima mesej teks amaran tentang akibat perbuatan mereka.
- Menurut polis, langkah itu bertujuan untuk mencegah penentangan terhadap undang-undang hijab.
- Polis menyifatkan penentangan sedemikian hanya mencemarkan imej rohani negara dan menyebarkan rasa tidak selamat dalam kalangan rakyat.
TEHRAN: Dalam usaha untuk mengekang semakin ramai wanita yang melanggar kod etika pakaian, pihak berkuasa Iran bertindak memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat awam dan jalan raya bagi mengenal pasti pesalah termasuk menghukum wanita yang tidak bertudung.
Lapor Channel News Asia, selepas pesalah dikenal pasti menerusi CCTV, mereka akan menerima mesej teks amaran tentang akibat perbuatan mereka.
Menurut polis, langkah itu bertujuan untuk mencegah penentangan terhadap undang-undang hijab.
Tambah polis, penentangan sedemikian hanya mencemarkan imej rohani negara dan menyebarkan rasa tidak selamat dalam kalangan rakyat.
Dilaporkan, semakin ramai wanita Iran menanggalkan tudung mereka sejak kematian seorang wanita Kurdish berusia 22 tahun dalam tahanan polis moral, September tahun lalu.
Mahsa Amini ditahan kerana didakwa melanggar peraturan hijab.
Sekurang-kurangnya 108 orang terbunuh dalam tindakan kekerasan Iran terhadap protes kematian Mahsa Amini yang tercetus lebih tiga minggu.
Kumpulan hak asasi manusia Iran (IHR) mendakwa pasukan keselamatan Iran membunuh sekurang-kurangnya 93 lagi orang dalam pertempuran berasingan di bandar Zahedan, wilayah tenggara Sistan-Baluchistan.
Keganasan di Zahedan tercetus pada 30 September tahun lalu ketika protes tercetus ekoran kemarahan orang ramai berhubung laporan seorang remaja perempuan dirogol oleh komander polis di wilayah itu.
Kumpulan hak asasi itu juga menyuarakan kebimbangan mengenai tahap tindakan keras di Sanandaj, ibu kota wilayah asal Amini di Kurdistan di barat Iran.
Pendakwa raya Iran juga dikatakan membicarakan lebih 1,000 orang kerana mengambil bahagian dalam protes jalanan besar-besaran.
Protes kematian Mahsa dilaporkan merebak ke Eropah.
Sumber: Utusan Malaysia