Antarabangsa
Lebih 70 peratus rakyat Hong Kong enggan campur tangan penderaan kanak-kanak di khalayak umum – Tinjauan
Lebih 70 peratus rakyat Hong Kong enggan terlibat jika mereka melihat kanak-kanak dipukul atau dimarahi secara berlebihan di khalayak ramai, lapor South China Morning Post memetik satu tinjauan umum.
- Lebih 70 peratus rakyat Hong Kong enggan terlibat jika mereka melihat kanak-kanak dipukul atau dimarahi secara berlebihan di khalayak ramai.
- Demikian hasil tinjauan badan amal Save the Children yang dijalankan dari September hingga Oktober tahun lalu.
- Selain enggan mencampuri urusan keluarga, tidak mengetahui tahap serius sesuatu penderaan juga adalah antara alasan responden enggan campur tangan.
- Bilangan kes penderaan kanak-kanak di Hong Kong meningkat 45 peratus dari 2020 hingga 2021, ketika pandemik Covid-19 melanda bandar itu.
Lebih 70 peratus rakyat Hong Kong enggan terlibat jika mereka melihat kanak-kanak dipukul atau dimarahi secara berlebihan di khalayak ramai, lapor South China Morning Post memetik satu tinjauan umum.
Menurut tinjauan badan amal Save the Children yang dijalankan dari September hingga Oktober tahun lalu, hampir 20 peratus daripada 1,008 responden berkata mereka menyaksikan kanak-kanak dipukul, ditampar, atau dihina secara lisan oleh ibu bapa atau penjaga mereka dalam tempoh 12 bulan lalu.
Daripada jumlah itu, hanya 23 peratus mengambil tindakan, termasuk menenangkan kanak-kanak, menghalang pelaku atau menghubungi polis dengan kebanyakan responden mengatakan mereka enggan campur tangan dalam urusan keluarga lain.
Sebahagian responden berkata mereka tidak pasti sama ada kejadian itu merupakan penderaan kanak-kanak atau beranggapan ia tidak begitu serius.
“Apabila kanak-kanak mengalami kecederaan fizikal dan mental yang dilakukan ibu bapa atau penjaga mereka, ini bukan lagi urusan keluarga sahaja, orang ramai perlu memahami perkara ini,” kata Ian Li selaku pengurus advokasi Save the Children.
“Pemikiran sedemikian akan melambatkan pengecaman kes penderaan kanak-kanak, dan seterusnya mendatangkan lebih banyak mudarat kepada mangsa kanak-kanak”.
Susulan itu, badan amal itu menggesa kerajaan untuk menubuhkan satu mekanisme pelaporan mandatori bagi kes penderaan yang disyaki secepat mungkin.
Hasil tinjauan Save the Children itu dikeluarkan ketika pihak berkuasa Hong Kong bersedia untuk menggubal undang-undang perlindungan kanak-kanak baharu, di mana profesional penjagaan kanak-kanak akan bertanggungjawab jika mereka gagal melaporkan kes penderaan yang disyaki dalam masa munasabah.
Biro Buruh dan Kebajikan dijangka memperkenalkan rang undang-undang kepada Majlis Perundangan pada separuh pertama tahun ini.
Kerajaan mencadangkan agar kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan dan denda HK$5,000 (RM 2,840.81).
Walaupun hampir separuh daripada responden berpendapat hukuman dera bukanlah perkara biasa di Hong Kong, bilangan kes penderaan kanak-kanak sememangnya meningkat 45 peratus dari 2020 hingga 2021, ketika pandemik Covid-19 melanda bandar itu.
Sumber: South China Morning Post