Antarabangsa
Lebih 10 juta jemaah solat di Masjid Nabawi pada 10 hari pertama Ramadan
Masjid Nabawi di Madinah menyaksikan kehadiran jemaah mencecah 10.3 juta dalam tempoh satu pertiga Ramadan.
- Masjid Nabawi di Madinah menyaksikan kehadiran jemaah mencecah 10.3 juta dalam tempoh satu pertiga Ramadan.
- Dalam tempoh itu juga kira-kira 2.3 juta hidangan berbuka puasa disediakan kepada jemaah, termasuk satu juta botol air zamzam.
- Agensi Masjid Nabawi menerima pengunjung dan jemaah 24 jam sehari selain membenarkan jemaah berada di atas bumbung masjid berikutan kepadatan pengunjung.
- Ini adalah tambahan kepada kesediaannya mengumpulkan pengunjung ke dataran barat baharu sekiranya kapasiti masjid penuh.
RIYADH: Masjid Nabawi di Madinah menyaksikan kehadiran jemaah mencecah 10.3 juta dalam tempoh satu pertiga Ramadan.
Dalam tempoh itu juga kira-kira 2.3 juta hidangan berbuka puasa disediakan kepada jemaah termasuk satu juta botol air zamzam.
Agensi Masjid Nabawi menerima pengunjung dan jemaah 24 jam sehari selain membenarkan jemaah berada di atas bumbung masjid berikutan kepadatan pengunjung.
Ini adalah tambahan kepada kesediaannya mengumpulkan pengunjung ke dataran barat baharu sekiranya kapasiti masjid penuh.
Agensi berkenaan memenuhkan keseluruhan kawasan dalam masjid dengan permaidani termasuk di dataran dan di atas bumbung.
Ia juga memastikan ruang solat tersedia selain menjamin keperluan pengunjung seperti al-Quran dan air zamzam, serta memastikan kemudahan dan tandas tersedia sepanjang masa.
Agensi turut memperhebatkan persiapannya dalam menyediakan juadah berbuka puasa di Masjid Nabawi menerusi mekanisme diperlukan bagi memudahkan kemasukan hidangan berbuka puasa untuk lelaki melalui beberapa pintu, iaitu: Bab Al-Rahma 3; pintu gerbang 4,5,37 di sebelah selatan; pintu 8,11 di sebelah barat; pintu gerbang 34,32 di sebelah timur, dan pintu gerbang 21, 17, 19 di sebelah utara.
Bagi kemasukan juadah untuk wanita, agensi menetapkan kawasan solat timur, pintu 25 dan 29, dan kawasan solat barat, pintu 13 dan 17.
Agensi itu juga mengatur kemasukan ke Rawdah Sharif di Masjid Nabawi menerusi aplikasi Nusuk.
Jemaah lelaki dibenarkan mengunjungi Rawdah Sharif dari 1 Ramadan hingga 19 Ramadan mulai 2.30 pagi hingga solat Subuh, kemudian dari 11.30 pagi hingga solat Isyak.
Wanita boleh melawat Rawdah Sharif selepas solat Subuh hingga 11 pagi, kemudian dari 11 malam hingga 2 petang.
Sumber: Berita Harian