Antarabangsa
Kumpulan pelampau Hindutva halang Muslim solat terawih, tampar imam
Sekumpulan pelampau Hindutva pada Isnin menghalang orang Islam di Haldwani Uttarakhand daripada solat tarawih dan menyerang seorang imam dalam kejadian berlaku sekitar jam 8.30 malam di Sarna Kothi, kawasan yang didominasi penganut Hindu.
- Peguam, Zafar Siddique berkata kira-kira 50 hingga 60 lelaki dari pertubuhan Hindutva Bajrang Dal mengganggu solat tarawih – solat khas di bulan Ramadan yang diadakan pada waktu malam di mana ayat al-Quran dibaca lebih lama oleh jemaah.
- Siddique, yang juga pemilik bangunan tempat ibadat itu, berkata kumpulan pelampau tersebut menampar imam dan menyerang seorang jemaah lain hingga cedera.
- Dia mendakwa pegawai polis hadir semasa insiden serangan itu berlaku, namun pihak terbabit menyokong kumpulan perusuh yang diketuai pemimpin Hindutva tempatan, Mukesh Bhat.
- Sejak awal Ramadan lalu, ini merupakan insiden keempat dilaporkan berlaku membabitkan cubaan menghentikan solat.
Sekumpulan pelampau Hindutva pada Isnin menghalang orang Islam di Haldwani Uttarakhand daripada solat tarawih dan menyerang seorang imam dalam kejadian berlaku sekitar jam 8.30 malam di Sarna Kothi, kawasan yang didominasi penganut Hindu.
Peguam, Zafar Siddique memberitahu Scroll kira-kira 50 hingga 60 lelaki dari pertubuhan Hindutva Bajrang Dal mengganggu solat tarawih – solat khas di bulan Ramadan yang diadakan pada waktu malam di mana ayat al-Quran dibaca lebih lama oleh jemaah.
Siddique, yang juga pemilik bangunan tempat ibadat itu diadakan, berkata kumpulan terbabit menampar imam dan menyerang seorang jemaah lain cedera.
“Mereka cuba menyerang saya juga tetapi seseorang memberitahu mereka bahawa saya seorang peguam dan kemudian mereka berundur,” katanya.
Dia mendakwa pegawai polis hadir semasa serangan itu berlaku, namun pihak terbabit menyokong kumpulan perusuh itu yang diketuai pemimpin Hindutva tempatan, Mukesh Bhat.
Siddique memberitahu dia diminta bertemu dengan ketua polis sehari sebelum kekecohan berlaku apabila polis tempatan menghubunginya melalui telefon dan memaklumkan mereka menerima aduan mengenai aktiviti beribadat iaitu solat yang dijalankan.
Dalam pada itu, Bhat berkata majistret bandar telah menutup tiga bilik bangunan milik Siddique dengan dakwaan ia dibina di atas “tanah nazul”.
Tanah Nazul ialah sejenis harta yang hak miliknya dikembalikan kepada negara (dalam keadaan seperti pemilik meninggal dunia tanpa waris sah) yang kemudiannya boleh dipajakkan.
Membantah dakwaan itu, Siddique berkata umat Islam di kawasan itu mendirikan solat di premis itu sejak 20 tahun lalu. “Tempat bawah tanah adalah dewan solat di mana kami mengadakan solat sepanjang tahun.”
Sejak awal Ramadan lalu, ini merupakan insiden keempat dilaporkan berlaku membabitkan cubaan menghentikan solat.
Sumber: Scroll. In