Terkini
Jawatankuasa khas selesai isu upah, had kerja industri perfileman
Isu pelakon dan kru ‘lunyai’ bekerja sehingga 20 jam sehari menjadi polemik dalam industri perfileman bakal menemui jalan penyelesaian.
- Isu pelakon dan kru ‘lunyai’ bekerja sehingga 20 jam sehari menjadi polemik dalam industri perfileman bakal menemui jalan penyelesaian.
- Memperincikan perkara itu, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Salleh, berkata satu jawatankuasa bakal dibentuk bertujuan menyelesaikan isu kerja lebih masa dan perkara berbangkit lain yang berkaitan dengan kebajikan pekerja di belakang tabir.
- Melalui kerjasama strategik dijalankan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Kementerian Sumber Manusia, PROFIMA diberi ruang menubuhkan jawatankuasa bertujuan menyelaraskan kontrak membabitkan pekerja filem dan majikan (penerbit).
- “Menerusi jawatankuasa ini, kami akan merangka satu kontrak standard antara kru, pelakon dan penerbit atas nasihat serta persetujuan FINAS, JTK dan bersesuaian dengan Akta Pekerja 1955 (Pindaan 2022).
- “Insya-Allah, selepas jawatankuasa ini akan mula bergerak untuk melaksanakan tanggungjawab selepas Aidilfitri ini,” katanya kepada BH Online.
KUALA LUMPUR: Isu pelakon dan kru ‘lunyai’ bekerja sehingga 20 jam sehari menjadi polemik dalam industri perfileman bakal menemui jalan penyelesaian.
Memperincikan perkara itu, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Salleh, berkata satu jawatankuasa bakal dibentuk bertujuan menyelesaikan isu kerja lebih masa dan perkara berbangkit lain yang berkaitan dengan kebajikan pekerja di belakang tabir.
“Menerusi kerjasama strategik dijalankan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Kementerian Sumber Manusia, PROFIMA diberi ruang menubuhkan jawatankuasa bertujuan menyelaraskan kontrak membabitkan pekerja filem dan majikan (penerbit).
“Selain PROFIMA bertindak sebagai peneraju, turut berada di bawah jawatankuasa termasuklah wakil Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan JTK.
“Anggota jawatankuasa juga membabitkan wakil persatuan seni berkaitan seperti Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Penerbit Filem (PFM) yang mewakili majikan, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).
“Menerusi jawatankuasa ini, kami akan merangka satu kontrak standard antara kru, pelakon dan penerbit atas nasihat serta persetujuan FINAS, JTK dan bersesuaian dengan Akta Pekerja 1955 (Pindaan 2022).
“Insya-Allah, selepas jawatankuasa ini akan mula bergerak untuk melaksanakan tanggungjawab selepas Aidilfitri ini,” katanya kepada BH Online.
Tambah Khalil, selain isu kerja lebih masa, kontrak juga dijangka dapat menyelesaikan isu sampingan lain yang selama ini membelenggu pekerja di belakang tabir.
“Apabila ada satu kontrak standard dan dipersetujui semua pihak berkaitan, segala masalah serpihan membabitkan pekerja bebas akan dapat diselesaikan.
“Kontrak antara lain turut membuat ketetapan berkaitan kadar upah dan kebajikan pekerja.
“Selain isu kerja lebih masa, saya sering mendapat aduan apabila ada majikan yang lambat bayar gaji ataupun upah tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan.
“Dengan penubuhan jawatankuasa ini, saya yakin menerusi input dan kerjasama yang diberikan, masalah dalaman akan berakhir, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih positif di lokasi penggambaran,” ujarnya.
Sementara itu, Khalil turut meluahkan rasa terkilan terhadap segelintir penerbit yang bersikap biadap dan gemar memaki hamun pekerja sesuka hati.
“Sebagai persatuan, kebajikan pekerja adalah tanggungjawab dan kami tidak akan membiarkan sikap biadap penerbit terus berleluasa, sekali gus menjadi barah dalam industri.
“PROFIMA memandang serius mengenai perkara ini dan bercadang bertemu dengan pihak majikan iaitu PTVM dan PFM untuk membincangkan isu ini.
“Buat masa ini, kami belum merancang mengambil tindakan, namun jika ia berlarutan dan melampaui batas, kami tidak teragak-agak untuk menyenarai hitam penerbit berkenaan,” tegas Khalil yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran PROFIMA di Dataran Karyawan FINAS di Hulu Kelang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis itu turut dihadiri 300 tetamu termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim.
Selain mengeratkan ukhuwah, tetamu yang hadir turut disajikan dengan program bual bicara bertajuk Bicara Hak Pekerja Filem Malaysia.
Sumber: Berita Harian