Antarabangsa
Berang ajakan ditolak, pelajar warga China hantar 1kg daging babi kepada wanita Muslim
Seorang pelajar China di United Kingdom (UK) dijatuhi hukuman penjara kerana menghendap seorang pelajar wanita Muslim secara taasub dan menghantar 1 kilogram daging babi ke penginapan universitinya pada 27 Mac lalu.
- Seorang pelajar China di United Kingdom (UK) dijatuhi hukuman penjara kerana menghendap seorang pelajar wanita Muslim secara taasub dan menghantar 1kilogram daging babi ke penginapan universitinya pada 27 Mac lalu.
- Kaichen Ma menjadi taasub dengan wanita itu selepas sebuah pertemuan.
- Pendakwa Raya, Matthew Bean memberitahu Mahkamah Durham Crown bahawa kedua-duanya bertemu di sebuah kelab malam pada 30 September tahun lalu dan bertukar butiran hubungan.
- Namun wanita Muslim itu memberitahu warga China terbabit bahawa dia tidak berminat, sekali gus membawa kepada tindakan keterlaluan lelaki miang terbabit.
Seorang pelajar China di United Kingdom (UK) dijatuhi hukuman penjara kerana menghendap seorang pelajar wanita Muslim secara taasub dan menghantar 1 kilogram daging babi ke penginapan universitinya pada 27 Mac lalu.
Memetik laporan Telegraph, Kaichen Ma menjadi taasub dengan wanita itu selepas sebuah pertemuan.
Pendakwa Raya, Matthew Bean memberitahu Mahkamah Durham Crown bahawa kedua-duanya bertemu di sebuah kelab malam pada 30 September tahun lalu.
Selain itu, mereka juga dikatakan pergi ke restoran Turki dan pawagam beberapa hari kemudian.
Di akhir pertemuan mereka, lelaki berusia 21 tahun itu cuba mencium wanita itu dan menyentuh lengannya ketika dia berjalan pulang ke rumah.
Namun wanita Muslim tersebut memberitahu lelaki warga China itu bahawa dia tidak berminat.
Bagaimanapun, Bean berkata yang Ma terus mengganggu mangsa dengan menggunakan 44 nombor telefon untuk menghubunginya selepas tarikh tersebut.
Mangsa, yang belajar di Universiti Durham, cuba menyekatnya berulang kali, tetapi Ma tetap hadir ke bilik kuliahnya walaupun mereka bukan dalam kursus sama.
Selain menghantar daging babi, Ma turut membeli hadiah yang ditujukan kepada mangsa dengan ayat manis “cinta dalam hidup saya”, seperti cincin Pandora, kad dan tiket kapal terbang untuk melawat keluarganya di China.
Ketaasuban Ma membuat mangsa takut untuk meninggalkan tempat penginapannya tanpa ditemani.
Wanita Muslim itu kemudiannya mengalami tekanan mental dan tidak hadir kelas selama dua minggu.
Ma yang ditahan pada 1 Disember tahun lalu mengaku atas tuduhan menghendap.
Ma kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin dengan syarat tidak akan menghubungi atau mendekati wanita itu.
Bagaimanapun, dalam bulan yang sama, dia menghantar mesej lagi kepadanya, memintanya untuk mengasihaninya dan menggesa untuk menggugurkan aduan polis terhadapnya.
Pada 30 Januari lalu, Ma ditahan semula akibat mendekati mangsa di jalanan.
Dia kini dijatuhkan hukuman penjara 28 bulan dan akan dihantar pulang ke negaranya selepas tamat tempoh hukuman.