Terkini
Tidak perlu mansuh AUKU, memadai dipinda – Mahasiswa
Walaupun ada segelintir pihak mahu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, yang sering menjadi bahan polemik dimansuhkan, rata-rata kepimpinan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berpendapat sudah memadai sekiranya akta itu dipinda.
- Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Muhammad Haziq Izzuddin Ridzuan berkata penghapusan AUKU tidak dapat memberikan apa-apa jaminan ia bukan membawa kebaikan kepada pelajar, malah menjejaskan pengurusan universiti.
- “Saya merasakan kita hanya perlu meminda sebahagian sahaja seksyen di dalam AUKU untuk kita memastikan autonomi dapat diberikan kepada mahasiswa itu.
- “Saya juga merasakan bahawa akta AUKU ini tidak perlu dipolitikkan kerana kita sedia maklum kita hadir ke universiti ini bukan semata-mata untuk berpolitik tetapi untuk menuntut ilmu, itu yang lebih utama,“ katanya.
- AUKU merupakan akta untuk membuat peruntukan bagi menubuhkan, menyelenggara dan mentadbir universiti dan kolej universiti dan perkara lain yang berkenaan dengannya.
KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) — Walaupun ada segelintir pihak mahu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, yang sering menjadi bahan polemik dimansuhkan, rata-rata kepimpinan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berpendapat sudah memadai sekiranya akta itu dipinda.
Mereka berpandangan pindaan terhadap akta yang telah dikuatkuasakan sejak 30 April 1971 itu perlu memperkasa dan memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa berpartisipasi dalam pengurusan serta pentadbiran IPT.
Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Muhammad Haziq Izzuddin Ridzuan berkata penghapusan AUKU secara total tidak dapat memberikan apa-apa jaminan ia akan membawa kebaikan kepada pelajar, malah ia boleh menjejaskan pengurusan universiti.
“Saya merasakan kita hanya perlu meminda sebahagian sahaja seksyen di dalam AUKU untuk kita memastikan autonomi dapat diberikan kepada mahasiswa itu.
“Saya juga merasakan bahawa akta AUKU ini tidak perlu dipolitikkan kerana kita sedia maklum kita hadir ke universiti ini bukan semata-mata untuk berpolitik tetapi untuk menuntut ilmu, itu yang lebih utama,“ katanya kepada Bernama.
AUKU merupakan akta untuk membuat peruntukan bagi menubuhkan, menyelenggara dan mentadbir universiti dan kolej universiti dan bagi perkara lain yang berkenaan dengannya.
Bendahari Agung MPP Universiti Sains Malaysia Zakuan Nafis Mohd Yahaya pula berpandangan sentimen untuk menghapuskan AUKU tidak seharusnya dibuat secara pukul rata kerana hanya Bahagian II Perkara 15, Perkara 16, dan Perkara 48 dalam akta itu yang berkaitan secara langsung dengan mahasiswa.
“Perkara yang saya rasa perlu dilihat ialah pindaan pada Perkara 48 dengan memberikan hak kepada MPP untuk mengurus kewangan sendiri dan melibatkan mahasiswa dalam pengambilan keputusan berkenaan AUKU yang mempengaruhi kehidupan kampus dan keterlibatan aktif mahasiswa dalam kehidupan politik dan sosial di luar kampus,” katanya.
Zakuan Nafis berkata pindaan itu juga perlu melihat kepada keadilan dan akauntabiliti AUKU dengan memperkenalkan tindakan dan hukuman lebih adil untuk mahasiswa yang melanggar peraturan selain meningkatkan ketelusan dalam tata kelola universiti dan pengurusan IPT.
Sementara itu, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Utara Malaysia Syahril Ahmad Sofian pula mencadangkan supaya segala usaha meminda AUKU perlu melibatkan wakil mahasiswa terutama dalam pembentukan jawatankuasa di peringkat kementerian dan universiti.
Katanya perkara itu bagi memastikan ruang yang seluasnya diberikan kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk menentukan nasib dan hak mereka semasa berada di universiti.
Justeru, Syahril berkata kajian dan analisis holistik serta telus perlu dijalankan sebelum apa-apa keputusan dibuat bagi meminda AUKU kerana setiap peruntukan dalam undang-undang perlu sentiasa relevan agar sesuai dengan peredaran zaman dalam konteks kemasyarakatan.
Semalam, dalam Sidang Dewan Rakyat, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan akan meminda segala kelemahan yang terdapat dalam AUKU 1971 dan akan mengusulkan perkara itu dalam persidangan akan datang.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata antara perkara yang sedang dipertimbangkan untuk dipinda dalam akta tersebut adalah supaya persatuan pelajar universiti dapat menguruskan sendiri akaun kewangan persatuan mereka.
“Saya melihat kesatuan mahasiswa (student union) merupakan agenda yang lebih utama yang perlu diperjuangkan demi menjulang islah pemerkasaan mahasiswa. Oleh itu, perlu ada perubahan secara holistik dalam peruntukan undang-undang,” katanya.
Sumber: Bernama