Connect with us

Antarabangsa

Penggodam Israel manipulasi lebih 30 pilihanraya

Sekumpulan penggodam Israel didakwa memanipulasi lebih 30 pilihan raya di seluruh dunia menggunakan kaedah penggodaman, sabotaj dan penyebaran maklumat palsu secara automatik di media sosial dibongkarkan dalam satu siasatan baharu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Ziera Adurah

Published

on

Penggodam Israel manipulasi lebih 30 pilihanraya
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Sekumpulan penggodam Israel didakwa memanipulasi lebih daripada 30 pilihan raya di seluruh dunia, demikian pendedahan sekumpulan wartawan antarabangsa.
  • Unit itu yang dikenali sebagai Team Jorge diketuai Tal Hanan, telah bekerja secara sulit dalam pilihan raya di pelbagai negara selama lebih dua dekad. 
  • Salah satu perkhidmatan utama kumpulan itu adalah pakej perisian yang canggih, Aims yang mengawal beribu-ribu akaun palsu di media sosial.
  • Kebanyakan strategi yang digunakan adalah melibatkan gangguan dan sabotaj ke atas pesaing.
  • Salah satu perkhidmatan utama kumpulan itu adalah pakej perisian canggih, Advanced Impact Media Solution (Aims) yang mengawal beribu-ribu akaun palsu di Twitter, LinkedIn, Facebook, Telegram, Gmail, Instagram dan Youtube.

Sekumpulan penggodam Israel didakwa memanipulasi lebih 30 pilihan raya di seluruh dunia menggunakan kaedah penggodaman, sabotaj dan penyebaran maklumat palsu secara automatik di media sosial dibongkarkan dalam satu siasatan baharu.

Unit itu diketuai Tal Hanan, seorang bekas ahli pasukan khas Israel yang kini bekerja secara peribadi menggunakan pseudonim “Jorge”, didapati bekerja secara sulit dalam pilihan raya di pelbagai negara selama lebih dua dekad. 

Hanan dan unitnya yang dikenali sebagai “Team Jorge” didedahkan melalui rakaman dan dokumen rahsia hasil siasatan sekumpulan wartawan antarabangsa dan dibocorkan kepada The Guardian. 

Siasatan mendedahkan butiran bagaimana penyampaian maklumat palsu dilakukan Team Jorge yang menyediakan perkhidmatan sulit untuk campur tangan dalam pilihan raya tanpa dijejaki.

Salah satu perkhidmatan utama kumpulan itu adalah pakej perisian canggih, Advanced Impact Media Solution (Aims) yang mengawal beribu-ribu akaun palsu di Twitter, LinkedIn, Facebook, Telegram, Gmail, Instagram dan Youtube.

Kebanyakan strategi digunakan adalah melibatkan gangguan dan sabotaj ke atas pesaing: kumpulan itu mendakwa menghantar alat mainan seks melalui Amazon ke rumah seorang ahli politik, bertujuan untuk menyampaikan maklumat palsu kepada isterinya bahawa dia sedang menjalin hubungan sulit.

Teknik digunakan Team Jorge menimbulkan cabaran baharu untuk platform-platform besar yang selama bertahun-tahun bergelut untuk menghalang anasir jahat menyebarkan maklumat palsu atau melanggar peraturan keselamatan dalam platform mereka. Bukti pasaran persendirian global maklumat palsu yang menyasarkan pilihan raya juga akan menimbulkan kebimbangan kepada sistem demokrasi di seluruh dunia.

Hanan didapati menjalankan beberapa operasi penipuannya melalui sebuah syarikat Israel, Demonan International, yang didaftarkan dalam laman web dikendalikan Kementerian Pertahanan Israel, namun pihak terbabit tidak memberi sebarang komen.

Tiga wartawan daripada Radio France, Haaretz dan TheMarker berhubung dengan Team Jorge dengan cara berpura-pura menjadi perunding di bawah sebuah negara Afrika yang tidak stabil dari segi politik dan mahu bantuan menangguhkan pilihan raya.

Dalam perbincangan itu, Hanan mendakwa: “Kami kini terlibat dalam satu pilihan raya di Afrika… Kami mempunyai sebuah kumpulan di Greek dan UAE… Anda ikut arahan. (Kami telah menyelesaikan) 33 kempen peringkat presiden, 27 telah berjaya.” Hanan turut berkata kumpulannya terlibat dalam dua ‘projek besar’ di Amerika Syarikat tetapi mendakwa untuk tidak terlibat secara langsung dalam politik negara itu.

Pada 2017, Team Jorge menghantar video perundingan politik Alexander Nix, bekas ketua eksekutif Cambridge Analytica, yang mempamerkan perisian awal Aims. Hanan berkata dalam e-melnya bahawa alat itu membolehkan pengguna mencipta sehingga 5,000 akaun bot untuk menyampaikan “mesej secara banyak” dan propaganda telah digunakan dalam 17 pilihan raya.

Hanan turut mendedahkan kepada wartawan bagaimana untuk menembusi akaun Telegram dan Gmail seorang lelaki yang dikatakan “pembantu kepada seorang penting” dalam pilihan raya umum Kenya yang akan berlangsung beberapa hari lagi.

“Kini jika seseorang mempunyai Gmail, mereka mempunyai lebih daripada e-mel,” katanya sambil menunjukkan e-mel, folder draf, kenalan dan drives mangsa. Hanan kemudiannya menunjukkan caranya mengakses akaun-akaun di Telegram, satu aplikasi mesej sulit.

Hanan, setelah didedahkan mengenai isu itu, tidak memberi sebarang komen dengan mengatakan dirinya memerlukan “kelulusan” daripada pihak berkuasa yang tidak dinyatakan. Namun, dia menambah: “Saya menafikan sebarang salah laku.”

Pendedahan mengenai Team Jorge akan mencemarkan nama Israel yang berada di bawah tekanan diplomatik sejak beberapa tahun lalu kerana eksport senjata siber yang menjejaskan demokratik dan hak asasi manusia.

Sumber: The Guardian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *