Antarabangsa
Parlimen Afrika Selatan setuju kurangkan hubungan dengan Israel
Parlimen Afrika Selatan pada Selasa sebulat suara memutuskan untuk mengurangkan kepentingan kedutaan negara itu di Israel, ekoran penindasan berterusan ke atas rakyat.
- Parlimen Afrika Selatan pada Selasa sebulat suara memutuskan untuk mengurangkan kepentingan kedutaan negara itu di Israel, ekoran penindasan berterusan ke atas rakyat.
- Parti Kebebasan Nasional (NFP) yang memperkenalkan draf resolusi berkata, langkah itu semestinya disokong pemimpin anti-apartheid, Nelson Mandela.
- “Ini adalah saat yang akan dibanggakan oleh (Mandela). Dia selalu berkata kebebasan kita tidak lengkap tanpa kebebasan rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.
- Kenyataan itu berkata Israel dibina melalui pencerobohan, pembunuhan, dan melumpuhkan rakyat Palestin. Dan untuk mengekalkan cengkaman mereka terhadap kuasa, mereka memulakan apartheid untuk mengawal dan mengurus rakyat Palestin.
CAPE TOWN, 15 Syaaban 1444H, Rabu – Parlimen Afrika Selatan pada Selasa sebulat suara memutuskan untuk mengurangkan kepentingan kedutaan negara itu di Israel, ekoran penindasan berterusan ke atas rakyat.
Parti Kebebasan Nasional (NFP) yang memperkenalkan draf resolusi berkata, langkah itu semestinya disokong pemimpin anti-apartheid, Nelson Mandela.
“Ini adalah saat yang akan dibanggakan oleh (Mandela). Dia selalu berkata kebebasan kita tidak lengkap tanpa kebebasan rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.
Hubungan Afrika Selatan dengan Israel tegang sejak beberapa tahun lalu.
Bahkan, kumpulan hak asasi manusia banyak bersependapat dengan komen yang dibuat oleh pejuang Palestin dan Afrika Selatan selama bertahun-tahun – mengisytiharkan bahawa Israel bersalah atas dasar apartheid.
Dalam kenyataan itu, NFP – parti berhaluan tengah dengan hanya dua kerusi di Parlimen – mengucapkan terima kasih kepada parti lain, termasuk Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang memerintah di atas sokongan mereka.
“Negara Israel dibina melalui pencerobohan, pembunuhan, dan melumpuhkan rakyat Palestin. Dan untuk mengekalkan cengkaman mereka terhadap kuasa, mereka telah memulakan apartheid untuk mengawal dan mengurus rakyat Palestin.
“Sebagai orang Afrika Selatan, kami enggan berdiam diri ketika apartheid sedang berlaku dan dilakukan lagi,” katanya.
Tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 69 rakyat Palestin setakat tahun ini – bersamaan dengan hampir satu pembunuhan setiap hari.
Ia merupakan permulaan paling berdarah dalam setahun sejak 2000, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Sekurang-kurangnya 13 warga Israel dibunuh oleh rakyat Palestin dalam tempoh yang sama.
Nablus dan Jenin telah menyaksikan peningkatan dalam tindakan penentangan bersenjata terhadap sasaran Israel dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Dengan perayaan Muslim, Kristian dan Yahudi yang bertindih bulan depan, ramai bimbang peningkatan ketegangan lebih teruk akan berlaku. – Agensi
Sumber: Ismaweb