Antarabangsa
OIC kecam tindakan Taliban, stereotaip media Barat terhadap wanita Islam
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Rabu mengulangi bahawa hak wanita adalah sinonim dengan hak Islam, dan menyeru Taliban menunaikan janji mereka untuk menghormati hak wanita serta membatalkan larangan wanita ke sekolah menengah dan kolej.
- OIC menyeru pemerintah Taliban di Afghanistan menunaikan janji mereka untuk menghormati hak wanita dan membatalkan larangan wanita ke sekolah dan kolej.
- Pertubuhan kerjasama negara Islam itu turut menggesa media Barat untuk menangani stereotaip negatif dalam liputan mereka tentang wanita Islam.
- Ia lebih mengecewakan kerana Taliban menggunakan nama Islam sebagai justifikasi layanan mereka terhadap wanita. – Menteri Luar Pakistan, Bilawal Bhutto Zardari
- Seorang pegawai Emeriyah Arab Bersatu (UAE) turut membuat perkaitan langsung antara ekstremisme agama dan Islamofobia.
NEW YORK – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Rabu mengulangi bahawa hak wanita adalah sinonim dengan hak Islam, dan menyeru Taliban menunaikan janji mereka untuk menghormati hak wanita serta membatalkan larangan wanita ke sekolah menengah dan kolej.
Bercakap di ibu pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa sidang “Women In Islam” untuk mempromosikan Hari Wanita Sedunia, pegawai dan ketua organisasi antarabangsa turut menggesa media Barat untuk menangani stereotaip negatif dalam liputan mereka tentang wanita Islam.
Sementara itu, seorang pegawai Emeriyah Arab Bersatu (UAE) membuat perkaitan langsung antara ekstremisme agama dan Islamofobia.
Menteri Luar Pakistan, Bilawal Bhutto Zardari memberitahu Arab News: “Isu umum dalam mesej setiap orang hari ini meliputi situasi malang di Afghanistan dan meluahkan rasa tidak senang dan kecewa bahawa wanita Afghanistan bukan sahaja dirampas hak mereka, tetapi kerajaan masih belum memenuhi janjinya untuk memberikan akses kepada pendidikan”.
Beliau mendakwa ia lebih mengecewakan kerana Taliban menggunakan nama Islam sebagai justifikasi layanan mereka terhadap wanita.
“Semua ahli OIC sebulat suara bersetuju bahawa hal ini tiada kaitan dengan Islam dan konsep Islam dan kami akan terus menggesa kerajaan sementara Afghanistan untuk menepati janji mereka membenarkan wanita menuntut ilmu,” kata Bhutto.
Menteri UK untuk Timur Tengah, Afrika Utara, Asia Selatan dan PBB di Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan yang juga wakil khas Perdana Menteri UK untuk mencegah keganasan seksual dalam konflik, Lord Ahmad memberitahu persidangan bahawa, “negara akan maju dan masyarakat akan makmur apabila wanita turut terlibat dalam kemajuan”.
Beliau juga menyeru semua negara untuk bersatu dan menuntut pemerintah Taliban di Afghanistan untuk memberikan wanita hak mereka.
Menteri negeri dari UAE, Noaura Al-Kaabi berkata ramai wanita dan gadis di seluruh dunia didiskriminasi, dibuatkan keputusan untuk mereka dan dikecualikan secara sistematik hanya kerana jantina mereka.
“Isu ini bukan hanya berlaku terhadap satu negara, bangsa atau agama,” katanya. “Ia adalah epidemik global”.
Bagaimanapun, diskriminasi jantina terhadap wanita Islam diburukkan lagi dengan penyelewengan dan salah faham tentang agama mereka, kata Al-Kaabi.
Sumber: Arab News