Antarabangsa
Negara miskin gesa revolusi hutang pada sidang PBB
Bergelut dengan peningkatan hutang dan pelbagai krisis yang muncul secara bertubi-tubi, pemimpin negara termiskin di dunia meningkatkan desakan supaya peraturan yang mengawal sumbangan berbilion dolar dirombak semula.

- Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), negara Barat salur lebih daripada AS$185 bilion (RM828 bilion) dalam bentuk geran dan pinjaman murah pada 2021.
- Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, mengutuk sistem kewangan global yang direka oleh negara kaya, sebahagian besarnya untuk kepentingan mereka.
- Katanya, tanpa sebarang rizab tunai, negara miskin terpaksa membayar kadar faedah pemangsa.
- Menjelang sidang kemuncak itu, Program Pembangunan PBB (UNDP) menganggarkan bahawa 52 negara mengalami tekanan hutang atau hampir dengannya dan mungkin gagal melunaskan bayaran.
DOHA: Bergelut dengan peningkatan hutang dan pelbagai krisis yang muncul secara bertubi-tubi, pemimpin negara termiskin di dunia meningkatkan desakan supaya peraturan yang mengawal sumbangan berbilion dolar dirombak semula.
Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), negara Barat menyalurkan lebih daripada AS$185 bilion (RM828 bilion) dalam bentuk geran dan pinjaman murah pada 2021.
Bantuan pembangunan adalah salah satu tonggak sistem kewangan antarabangsa.
Bagaimanapun, 46 Negara Kurang Maju (LDC) , pada Sidang Kemuncak 46 Negara Kurang Maju (LDC), di Doha, Qatar minggu ini melihat hanya perubahan kecil yang dilaksanakan.
Lima dekad selepas LDC ditubuhkan oleh PBB untuk memastikan keistimewaan perdagangan dan akses lebih mudah kepada akses kewangan lain, presiden dan perdana menteri mewakili LDC berkata, masalah mereka semakin memburuk.
LDC menuding jari ke atas sistem sedia ada dengan keadaan semasa termasuk perubahan iklim, COVID-19, kenaikan harga makanan dan bahan api yang didorong oleh pencerobohan Russia ke atas Ukraine serta hutang yang semakin besar terus membebani negara miskin.
“Rakan kongsi kami mempunyai kecenderungan untuk menyalahkan negara penerima atas kegagalan dan mengelak daripada meneliti program bantuan mereka sendiri yang pastinya mungkin menyumbang kepada kegagalan itu,” kata Presiden Timor Leste, Jose Ramos-Horta.
Presiden Seychelles, Wavel Ramkalawan, berkata sudah tiba masanya untuk institusi kewangan antarabangsa bergerak melangkaui keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita sebagai satu-satunya kayu ukur pembangunan.
“Tidak mungkin satu penyelesaian sesuai untuk semua,” katanya menggesa sistem yang mengiktiraf bahawa setiap negara mempunyai masalah berbeza.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, turut mengutuk sistem kewangan global ‘yang direka oleh negara kaya, sebahagian besarnya untuk kepentingan mereka’.
Katanya, tanpa sebarang rizab tunai, negara miskin terpaksa membayar ‘kadar faedah pemangsa’.
Pandemik COVID-19 sering dibangkitkan pada sidang kemuncak itu kerana LDC mendapat vaksin dalam kuantiti yang sedikit dan kemudian terpaksa membuat pinjaman pada kadar yang tinggi untuk tujuan itu.
Menjelang sidang kemuncak itu, Program Pembangunan PBB (UNDP) menganggarkan bahawa 52 negara sama ada mengalami tekanan hutang atau hampir dengannya dan mungkin gagal melunaskan bayaran.
Timbalan Perdana Menteri Lesotho, Nthomeng Majara, adalah antara pemimpin yang menggesa penjadualan semula dalam kadar segera atau pelepasan hutang.
Seruan itu kesinambungan kepada kritikan lama terhadap Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana mengenakan langkah penjimatan kepada penduduk miskin untuk mendapatkan pinjaman.
China kini adalah negara pemiutang tunggal terbesar, yang sering dilihat sebagai menyaingi pengaruh Barat.
Namun, baru-baru ini, negara itu menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan IMF dan institusi lain untuk mengatur penstrukturan semula atau pelepasan hutang. – AFP
Sumber: Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login