Terkini
Majikan ambil buruh asing, buang pekerja tempatan diberi amaran
Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membatalkan kelulusan kuota pekerja asing yang sudah diberikan kepada mana-mana majikan atau syarikat jika mereka didapati memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat tenaga kerja asing.
- Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menegaskan majikan atau syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 setiap kesalahan kerana bertentangan dengan Seksyen 60M Akta Kerja 1955.
- “Saya ingin memberi peringatan tegas kepada majikan dan syarikat-syarikat tempatan bahawa kelulusan kuota dan kebenaran penggajian pekerja asing kepada mereka adalah bagi menampung kekurangan guna tenaga dan bukan sesekali dijadikan alasan bagi mengantikan pekerja tempatan sedia ada.
- “Sejak kebelakangan ini, KSM telah menerima banyak aduan mengenai syarikat-syarikat tempatan yang sudah mendapat kelulusan kuota pekerja asing dan kemudiannya mengambil tindakan pemberhentian terhadap pekerja tempatan,” katanya.
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membatalkan kelulusan kuota pekerja asing yang sudah diberikan kepada mana-mana majikan atau syarikat jika mereka didapati memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat tenaga kerja asing.
Menterinya, V Sivakumar menegaskan, majikan atau syarikat itu juga boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan kerana bertentangan dengan Seksyen 60M Akta Kerja 1955.
“Saya ingin memberi peringatan tegas kepada majikan dan syarikat-syarikat tempatan bahawa kelulusan kuota dan kebenaran penggajian pekerja asing kepada mereka adalah bagi menampung kekurangan guna tenaga dan bukan sesekali dijadikan alasan bagi mengantikan pekerja tempatan sedia ada.
“Sejak kebelakangan ini, KSM telah menerima banyak aduan mengenai syarikat-syarikat tempatan yang sudah mendapat kelulusan kuota pekerja asing dan kemudiannya mengambil tindakan pemberhentian terhadap pekerja tempatan.
“Aduan terbaharu yang saya terima membabitkan pemberhentian 102 pekerja tempatan di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam tindakan pengurusan syarikat pembuatan di Nilai, Negeri Sembilan, yang didakwa ‘menganaktirikan’ pekerja tempatan dengan menggajikan buruh asing untuk menggantikan mereka.
Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, Kerajaan Perpaduan amat prihatin dengan keperluan mendesak berkaitan kekurangan guna tenaga, khususnya guna tenaga asing di sektor-sektor industri yang kritikal.
“Sehubungan itu, KSM dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri telah melaksanakan Pelan Kelonggaran Pengajian Pekerja Asing (PKPPA) bermula 17 Januari sehingga 31 Mac ini.
“Ia untuk menyegerakan kelulusan permohonan kuota pekerja asing di lima sektor kritikal, iaitu perladangan, perkilangan, pembinaan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).
“Saya juga ingin menasihatkan majikan bahawa setiap kekosongan pekerjaan yang ada di dalam negara ini perlu diberi keutamaan kepada rakyat dan pekerja tempatan,” katanya.
Sumber: Berita Harian