Connect with us

Terkini

(VIDEO) Lebih 13 peratus kanak-kanak, remaja di PPR berniat bunuh diri – Kajian

Sebanyak 13.4 peratus kanak-kanak dan remaja yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mempunyai niat membunuh diri atau mencederakan diri akibat tekanan hidup, menurut suatu kajian.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Lebih 13 peratus kanak-kanak, remaja di PPR berniat bunuh diri - Kajian
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • 13.4 peratus kanak-kanak dan remaja yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mempunyai niat membunuh diri atau mencederakan diri akibat tekanan hidup.
  • Faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental kanak-kanak dan remaja itu termasuklah tekanan ekonomi, keadaan hidup yang sempit dan tekanan rakan sebaya.
  • Demikian kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan dan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
  • Kajian dijalankan di 37 PPR melibatkan 1,578 kanak-kanak dan remaja berumur antara 10 dan 17 tahun. – Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Sebanyak 13.4 peratus kanak-kanak dan remaja yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mempunyai niat membunuh diri atau mencederakan diri akibat tekanan hidup, menurut suatu kajian.

Kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan dan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu juga mendapati 12.3 peratus daripada kumpulan itu mempunyai masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, kajian itu dijalankan di 37 PPR melibatkan 1,578 kanak-kanak dan remaja berumur antara 10 dan 17 tahun.

Beliau berkata, faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental kanak-kanak dan remaja itu termasuklah tekanan ekonomi, keadaan hidup yang sempit dan tekanan rakan sebaya.

“Hasil kajian sebegini membolehkan KKM dan agensi lain bekerjasama untuk memahami masalah kesihatan mental dalam kalangan golongan ini dan mengenal pasti penyelesaian strategik untuk mengatasi isu tersebut secara holistik.

“Semua pihak mesti fokus kepada kesihatan mental dan memainkan peranan masing-masing dalam kesejahteraan mental masyarakat. Ini urusan semua orang,” katanya selepas melancarkan program komuniti Myhealthymind@PPR.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata penemuan kualitatif kajian itu juga menunjukkan kebanyakan remaja yang mengalami masalah emosi menangani tekanan dengan cara yang tidak sihat, seperti merokok dan mengambil bahan terlarang.

Kajian yang akan dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental yang akan dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada 22 Mac ini turut mencadangkan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan melalui kerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi dan badan bukan kerajaan.

Beliau seterusnya memaklumkan yang KKM telah menerima 308,445 panggilan antara 25 Mac 2020 hingga 31 Disember 2022 melalui Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang ditubuhkan semasa pandemik Covid-19, di mana 72.2 peratus (228,480 panggilan) adalah daripada mereka yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling kerana tekanan kronik, kemurungan dan kebimbangan.

“Perkhidmatan talian bantuan telah dinaik taraf kepada Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan atau Talian HEAL 15555, yang beroperasi setiap hari termasuk cuti umum dari jam 8 pagi hingga tengah malam. Talian bantuan dikendalikan oleh pegawai kaunseling psikologi KKM.

“Talian HEAL yang beroperasi sejak 21 Oktober 2022, telah menerima 8,904 panggilan, di mana 97 pemanggil mempunyai tingkah laku bunuh diri dan cubaan membunuh diri, dan daripada ini, HEAL berjaya menyelamatkan 51 kes cubaan membunuh diri dan merujuk mereka (pemanggil) ke hospital,” katanya.

Sumber: Bernama

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *