Antarabangsa
Denmark tolak larangan berhijab didebatkan di Parlimen
Kerajaan Denmark menolak permintaan parti berhaluan kanan untuk mengadakan perdebatan di Parlimen mengenai larangan berhijab di sekolah.
- Kerajaan Denmark menolak permintaan parti berhaluan kanan untuk mengadakan perdebatan di Parlimen mengenai larangan berhijab di sekolah.
- Menteri Imigresen, Kaare Dybvad Bek berkata larangan dicadangkan itu bertentangan dengan undang-undang Denmark dan komitmen negara di peringkat global.
- “Menurut undang-undang, rancangan untuk mengharamkan pemakaian hijab di sekolah rendah tidak boleh dilaksanakan dalam rangka Perlembagaan dan kewajiban antarabangsa Denmark,” katanya.
- Pada Ogos lalu, The Danish Commission for the Forgotten Women’s Struggle, sebuah badan ditubuhkan pihak kerajaan, dalam cadangannya menyeru larangan berhijab di sekolah rendah untuk menghentikan “kawalan sosial berkaitan kehormatan” gadis daripada latar belakang minoriti.
COPANHAGEN – Kerajaan Denmark menolak permintaan parti berhaluan kanan untuk mengadakan perdebatan di Parlimen mengenai larangan berhijab di sekolah.
Menteri Imigresen, Kaare Dybvad Bek dalam satu komen bertulis pada Selasa berkata larangan dicadangkan itu bertentangan dengan undang-undang Denmark dan komitmen negara di peringkat global.
“Menurut undang-undang, rancangan untuk mengharamkan pemakaian hijab di sekolah rendah tidak boleh dilaksanakan dalam rangka Perlembagaan dan kewajiban antarabangsa Denmark,” katanya dipetik agensi berita Anadolu.
Walaupun menolak cadangan parti berhaluan kanan itu, menteri terbabit berkata Denmark menghadapi “cabaran serius dengan kawalan sosial negatif dan penindasan gadis muda dalam persekitaran tertentu”.
“Oleh itu, kerajaan tidak boleh menyokong cadangan itu. Namun, kami akan terus melawan penindasan yang berkaitan dengan penghormatan dan kawalan sosial negatif,” katanya.
Pada Ogos lalu, The Danish Commission for the Forgotten Women’s Struggle, sebuah badan ditubuhkan pihak kerajaan, dalam cadangannya menyeru larangan berhijab di sekolah rendah untuk menghentikan “kawalan sosial berkaitan kehormatan” gadis daripada latar belakang minoriti.
Cadangan itu mencetuskan protes di mana beribu-ribu orang membuat tunjuk perasaan atas cadangan larangan berhijab.
Protes berskala besar itu memberi impak sehingga dua ahli suruhanjaya itu menarik balik sokongan mereka untuk larangan pemakaian hijab.
Sumber: Anadolu Agency