Antarabangsa
Rejim Israel luluskan lebih 7,000 rumah penempatan haram di Palestin
Kerajaan sayap kanan Israel bertindak memberikan kelulusan untuk pembinaan lebih 7,000 rumah baharu di penempatan Yahudi di Tebing Barat yang diduduki.
- Tindakan itu disifatkan sebagai menentang bantahan antarabangsa semakin meningkat terhadap pembinaan di wilayah yang diduduki itu.
- Pengumuman itu dibuat selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) luluskan kenyataan yang kritik keras pembinaan penempatan Israel di tanah yang diduduki milik Palestin.
- Ia dilihat bercanggah dengan dakwaan AS yang berulang kali kritik pembinaan penempatan Israel dan gesa penyelesaian kedua-dua negara, namun tidak ambil tindakan hentikannya.
- Tindakan Israel itu dianggap seperti ‘meludah ke muka AS’, hanya beberapa hari selepas mengumumkan bahawa mereka komited tidak akan ada kemajuan penempatan di kawasan Palestin dalam masa terdekat.
BAITULMAQDIS: Kerajaan sayap kanan Israel bertindak memberikan kelulusan untuk pembinaan lebih 7,000 rumah baharu di penempatan Yahudi di Tebing Barat yang diduduki.
Tindakan itu disifatkan sebagai menentang bantahan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap pembinaan di wilayah yang diduduki itu.
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan kenyataan yang mengkritik keras pembinaan penempatan Israel di tanah yang diduduki milik Palestin.
Amerika Syarikat (AS), sekutu terdekat Israel, menyekat apa yang akan menjadi resolusi mengikat undang-undang yang lebih sukar, dengan diplomat mengatakan mereka menerima jaminan Israel tidak akan ambil tindakan sebelah pihak untuk tempoh enam bulan.
Bagaimanapun, ia dilihat bercanggah dengan dakwaan AS yang berulang kali mengkritik pembinaan penempatan Israel dan menggesa penyelesaian kedua-dua negara, namun tidak mengambil tindakan untuk menghentikannya.
Kumpulan pemantau anti-penempatan Yahudi, Peace Now, yang menghadiri mesyuarat itu, berkata jawatankuasa perancangan memberikan kelulusan untuk pembinaan kira-kira 7,100 unit rumah baharu warga Israel di seluruh Tebing Barat.
Pengarah baharu Peace Now, Lior Amihai, berkata jawatankuasa itu dijadualkan bermesyuarat bulan depan untuk membincangkan rancangan membangunkan kawasan strategik di timur Baitulmaqdis yang dikenali sebagai E1.
Dilaporkan sebelum ini, AS sudah menyekat projek itu, yang sebahagian besarnya akan membelah Tebing Barat dan disifatkan pengkritik sebagai menjadikannya mustahil untuk menubuhkan negara Palestin yang dipisahkan daripada Israel.
“Kira-kira 5,200 unit rumah berada pada peringkat awal perancangan, manakala selebihnya diluluskan untuk pembinaan jangka pendek.
“Pembinaan sudah diluluskan di empat pos luar yang tidak dibenarkan sebelum ini,” katanya.
Sebagai perbandingan, kira-kira 8,000 unit diluluskan dalam tempoh dua tahun sebelum ini.
Awal minggu ini, pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, berkata beliau berjanji untuk tidak lagi membenarkan pembinaan pos haram secara rambang selepas secara retroaktif memberi kelulusan kepada 10 pos sedia ada awal bulan ini.
Ia dianggap seperti ‘meludah ke muka AS’, hanya beberapa hari selepas mengumumkan bahawa mereka komited tidak akan ada kemajuan penempatan di kawasan Palestin dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, UNSC menjelaskan, AS mengkritik keputusan itu berikutan ia menjejaskan pelan damainya kerana struktur geografi di Tebing Barat menyukarkan usaha penyelesaian dua negara. – AP
Sumber: Berita Harian