Terkini
Langkah pinda Perlembagaan bagi kanak-kanak lahir di luar negara, kejayaan hak sama rata
Langkah meminda Perlembagaan Persekutuan supaya kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia boleh mendapat kerakyatan secara automatik adalah kejayaan hak sama rata.

- Langkah itu dialu-alukan dan harus dipuji, memandangkan ibu rakyat Malaysia dengan pasangan asing telah tuntut keadilan negara berikan kewarganegaraan automatik. – Pengerusi Pakatan Harapan Sabah, Datuk Christina Liew
- Tambahnya, langkah ini merupakan satu kemajuan pada prinsip kesaksama jantina yang tetapkan semua orang adalah sama dihadapan undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
- Kementerian Dalam Negeri yakin cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bolehkan anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dapat kerakyatan, mampu beri impak besar pada pihaknya dalam uruskan hal-hal berkaitan.
KOTA KINABALU: Langkah meminda Perlembagaan Persekutuan supaya kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia boleh mendapat kerakyatan secara automatik adalah kejayaan hak sama rata.
Pengerusi Pakatan Harapan Sabah, Datuk Christina Liew berkata langkah itu dialu-alukan dan harus dipuji, memandangkan ibu rakyat Malaysia dengan pasangan asing telah menuntut keadilan negara memberikan kewarganegaraan automatik.
“Kami memuji penyelesaian ini terhadap isu kewarganegaraan yang telah lama berlarutan selain menimbulkan keresahan dan tekanan kepada para ibu yang terlibat.
“Kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mencapai keputusan penting ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, langkah ini merupakan satu kemajuan kepada prinsip kesaksama jantina yang menetapkan semua orang adalah sama dihadapan undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia mendapat kerakyatan, mampu memberi impak besar kepada pihaknya dalam menguruskan hal-hal berkaitan.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini kerana banyak permohonan diterima pihaknya berkaitan isu kerakyatan.
Sumber: Astro Awani
