Connect with us

Terkini

Laksana segera pindaan Akta Perkhidmatan Air, denda RM10 juta pencemar sumber air

Kerajaan digesa segera laksanakan Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) bagi mengenakan hukuman lebih berat dengan meningkatkan kadar denda sehingga RM10 juta kepada pencemar sumber air.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Laksana segera pindaan Akta Perkhidmatan Air, denda RM10 juta pencemar sumber air
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin berkata, perkara berkenaan adalah wajar dan sangat relevan dilaksanakan tetapi perlu disusuli dengan usaha penguatkuasaan dan pemantauan yang ketat daripada agensi penguatkuasa.
  • “Dalam pindaan berkenaan menyatakan kadar denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta, manakala hukuman penjara juga dinaikkan dari setahun kepada 15 tahun.
  • “Pindaan itu melindungi hak mangsa gangguan bekalan air akibat pencemaran, dengan bolehkan pengguna dan pemegang lesen air tuntut semula kos untuk pulihkan sistem bekalan air dicemari pihak didapati bersalah.” – Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad
  • Penyumbang utama pencemaran adalah kelemahan pentadbiran negeri dalam wajibkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ambil tindakan tegas terhadap kilang dibina ditempat yang mendedahkan pada pencemaran seperti di atas tanah rizab sungai. – Pengerusi Persatuan Kebajikan Alam Malaysia (Rakan Alam) Zikrullah Ismail 

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa segera laksanakan Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) bagi mengenakan hukuman lebih berat dengan meningkatkan kadar denda sehingga RM10 juta kepada pencemar sumber air.

Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin berkata, perkara berkenaan adalah wajar dan sangat relevan dilaksanakan tetapi perlu disusuli dengan usaha penguatkuasaan dan pemantauan yang ketat daripada agensi penguatkuasa.

“Dalam pindaan berkenaan yang menyatakan kadar denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta, manakala hukuman penjara juga dinaikkan daripada setahun kepada 15 tahun.

“Hukuman penjara 15 tahun berkenaan bagi saya perlu dipertingkatkan lagi sekurang-kurangnya 30 tahun perlu dikenakan kepada pencemar sumber air berkenaan.

“Mungkin cadangan seperti batalkan terus lesen operasi memang patut dilaksanakan. Tetapi kalau tingkatkan denda dan hukuman sahaja tanpa penguatkuasaan dan pemantauan yang mencukupi ia tidak memadai,” katanya kepada BH, hari ini.

Katanya, mungkin denda dan hukuman berkenaan sudah berat tetapi adakah penguatkuasaan berkenaan benar-benar dilaksanakan.

“Ada segelintir syarikat pemaju dikenakan dan hukuman berat, mereka sanggup merasuah pihak berkuasa dengan nilai yang lebih tinggi dan bimbang apabila banyak denda dikenakan lebih kerap gejala rasuah akan berlaku.

“Mereka sanggup berhabis duit dn menyediakan kira-kira RM1 hingga 2 juta untuk mengelakkan pihak mereka dikenakan tindakan,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya mencadangkan kerajaan untuk menambahkan lagi jumlah kakitangan penguatkuasa selain membabitkan orang awam atau penduduk setempat bagi membantu pihak berkuasa.

Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata, Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) bagi mengenakan hukuman lebih berat termasuk meningkatkan kadar denda sehingga RM10 juta kepada pencemar sumber air akan dibentangkan di Dewan Rakyat Jun depan.

Katanya, selain meningkatkan kadar denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta, hukuman penjara juga dinaikkan daripada setahun kepada 15 tahun.

“Pindaan itu melindungi hak mangsa gangguan bekalan air akibat pencemaran, dengan membolehkan pengguna dan pemegang lesen air menuntut semula kos untuk memulihkan sistem bekalan air yang dicemari pihak yang didapati bersalah,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Alam Malaysia (Rakan Alam) Zikrullah Ismail berkata, penyumbang utama terhadap masalah pencemaran berkenaan adalah kelemahan pentadbiran negeri dalam mewajibkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas terhadap kilang yang dibina ditempat yang mendedahkan kepada pencemaran seperti di atas tanah rizab sungai.

“Jabatan peringkat persekutuan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) tiada kuasa terhadap tanah dan sungai.

“Maka masalah berkenaan sepatutnya menjadi tanggungjawab utama negeri dan PBT. Ubahlah bagaimanapun undang-undang peringkat persekutuan, ia tetap tidak mempunyai impak positif signifikan kepada semua.

“Perubahan yang sepatutnya signifikan di negeri dan PBT. Mereka pemilik tanah dan sungai dan jika mereka kawal lesen perniagaan daripada awal maka tidak perlu JAS dan SPAN mengenakan denda dan melakukan pelbagai kawalan. Mencegah lebih baik daripada merawat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *