Terkini
KPM teliti isu SJKT kurang murid di pedalaman
Kementerian Pendidikan (KPM) akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi meneliti isu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di kawasan pedalaman negara ini yang mempunyai bilangan murid sikit.
- Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata kementerian sedang mencari kaedah jangka masa panjang bagi menyelesaikan isu berkenaan agar sekolah Tamil di kawasan pedalaman dapat terus beroperasi.
- “Ada beberapa sekolah yang kurang murid terutama di (kawasan) perladangan dan Felda. Ini kita akan teliti satu demi satu,” katanya.
- Difahamkan sebanyak 367 SJKT di negara ini mempunyai bilangan murid kurang daripada 150 orang pada satu-satu masa.
IPOH, 24 Feb (Bernama) — Kementerian Pendidikan (KPM) akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi meneliti isu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di kawasan pedalaman negara ini yang mempunyai bilangan murid sikit.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata kementerian sedang mencari kaedah jangka masa panjang bagi menyelesaikan isu berkenaan agar sekolah Tamil di kawasan pedalaman dapat terus beroperasi.
“Ada beberapa sekolah yang kurang murid terutama di (kawasan) perladangan dan Felda. Ini kita akan teliti satu demi satu,” katanya selepas merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gunung Rapat di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasamy dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) M. Thulsi Thivani.
Difahamkan sebanyak 367 SJKT di negara ini mempunyai bilangan murid kurang daripada 150 orang pada satu-satu masa.
Mengenai projek pemulihan dan penyelenggaraan sekolah dikategorikan sebagai projek ‘sakit’, Lim berkata terdapat beberapa punca mengakibatkan kelewatan persiapan termasuk kenaikan kos bahan mentah dan masalah pekerja kontraktor binaan.
Bagaimanapun, beliau berkata KPM terus memberi perhatian serius agar projek menaik taraf atau memindahkan ke bangunan sekolah baharu yang telah diluluskan kerajaan akan disegerakan.
“Setiap negeri, ada projek-projek sekolah sakit tersendiri, ini kita tidak menafikan. Banyak lagi projek masih dalam perancangan,” katanya.
Sementara itu, SJKT Gunung Rapat yang dibina pada 1954 dan terletak di kawasan padat di tengah-tengah pekan Gunung Rapat, hari ini mendapat tapak dan bangunan baharu selepas 10 tahun. — BERNAMA
Sumber: Bernama