Connect with us

Terkini

Kerajaan pertimbang yuran permulaan bantu belia sertai TVET

Kerajaan sedang mempertimbang bayaran yuran permulaan sebanyak RM800 untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membolehkan lebih ramai belia khususnya dalam kalangan Orang Asli untuk terlibat dalam program itu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Kerajaan pertimbang yuran permulaan bantu belia sertai TVET
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Kerajaan sedang mempertimbang bayaran yuran permulaan sebanyak RM800 untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membolehkan lebih ramai belia khususnya dalam kalangan Orang Asli untuk terlibat dalam program itu.
  • Ia kerana bayaran yuran itu mungkin salah satu kekangan yang dihadapi belia untuk sertai program berkenaan. – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
  • Merujuk kepada data terkini Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyatakan hanya lima peratus belia Malaysia terlibat TVET.

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) – Kerajaan sedang mempertimbang bayaran yuran permulaan sebanyak RM800 untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membolehkan lebih ramai belia khususnya dalam kalangan Orang Asli untuk terlibat dalam program itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia kerana bayaran yuran itu mungkin menjadi salah satu kekangan yang dihadapi belia untuk menyertai program berkenaan.

“Jika ini boleh kita pertimbangkan untuk bantu mereka mungkin lebih ramai lagi belia khususnya Orang Asli akan terlibat dengan TVET,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan- Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai inisiatif kerajaan untuk meningkatkan bilangan belia dalam bidang TVET khususnya luar bandar dan Orang Asli.

Sementara itu, Fadillah berkata TVET adalah pembelajaran sepanjang hayat iaitu pelajar bukan sahaja boleh terlibat dengan kursus jangka panjang, malah juga program jangka pendek yang melibatkan latihan asas sesuatu bidang.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) sama ada kerajaan berhasrat untuk menambah atau menganjurkan program TVET jangka pendek kepada belia negara ini.

Selain itu, merujuk kepada data terkini Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menyatakan hanya lima peratus belia Malaysia terlibat TVET, Fadillah berkata kenyataan itu adalah berdasarkan penglibatan belia berumur antara 15 hingga 24 tahun.

“Ini mengambil kira populasi belia negara dalam lingkungan umur yang sama berjumlah seramai enam juta orang berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Data dinyatakan oleh UNESCO ini adalah selari kerana statistik enrolmen bagi tahun 2021 menunjukkan bilangan belia dalam kategori umur yang sama menyertai program TVET adalah seramai 360,000 orang,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Young Syefura mengenai data terkini UNESCO melalui International Centre for Technical and Vocational Education and Training yang menyebut hanya lima peratus belia Malaysia terlibat TVET serta sejauh mana ketetapan dapatan itu berbanding data enrolmen, serta strategi kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan TVET.

Pada masa sama, Fadillah berkata kerajaan menyasarkan 50 memorandum perjanjian (MoA) bersama pihak industri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi tahun ini seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.

Sebagai permulaan, beliau berkata 10 MOA dengan GLC dan syarikat swasta akan dimuktamadkan bagi pelaksanaan program TVET berimpak tinggi dan perjanjian itu sebagai platform kerjasama induk antara GLC dan syarikat swasta dengan kerajaan.

Sumber: Bernama

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *