Antarabangsa
Israel bom Gaza selepas tembakan roket, serangan maut Nablus
Israel mengebom Semenanjung Gaza selepas pejuang Palestin melancarkan beberapa serangan roket dari kawasan pantai terkepung pada awal Khamis, di tengah-tengah ketegangan terhadap serbuan rejim itu yang membunuh 11 warga Palestin di Nablus.
- Israel mengebom Semenanjung Gaza selepas pejuang Palestin melancarkan beberapa serangan roket dari kawasan pantai yang terkepung, awal Khamis.
- Tiada mangsa korban yang dilaporkan.
- Serangan roket tersebut berlaku selepas kumpulan Jihad Islam Palestin menyifatkan serbuan yang dilakukan tentera Israel di Nablus sebagai “jenayah besar”.
- Serangan Israel di Nablus semalam merupakan antara yang paling teruk berlaku di Tebing Barat sejak Intifada kedua atau pemberontakan Palestin pada tahun 2000 hingga 2005.
GAZA – Israel mengebom Semenanjung Gaza selepas pejuang Palestin melancarkan beberapa serangan roket dari kawasan pantai terkepung pada awal Khamis, di tengah-tengah ketegangan terhadap serbuan rejim itu yang membunuh 11 warga Palestin di Nablus.
Beberapa jam sebelum itu, roket yang dilepaskan dari Gaza menerangi langit malam dan mencetuskan siren di bandar Sderot dan Ashkelon yang diduduki rejim Israel.
Tiada mangsa korban dilaporkan.
Saksi Palestin berkata mereka melihat sekurang-kurangnya lapan roket dilepaskan, namun tentera Israel menyatakan hanya enam roket yang dilancarkan.
AlJazeera melaporkan rejim Israel berkata sistem pertahanan udaranya memintas lima daripada roket, manakala roket yang keenam jatuh di kawasan tidak berpenghuni.
Masih tiada pihak Palestin yang mengaku bertanggungjawab di atas serangan roket itu.
Serangan roket itu berlaku selepas kumpulan Jihad Islam Palestin yang berpusat di Gaza menyifatkan serbuan yang dilakukan tentera Israel di Nablus pada Rabu sebagai “jenayah besar” yang “perlu ditentang”.
Hamas, yang mentadbir kawasan pinggir pantai, juga mengeluarkan amaran dengan jurucakapnya, Abu Obeida berkata “penentang di Gaza sedang memerhatikan peningkatan jenayah musuh terhadap rakyat kita di Tebing Barat”. Tambahnya, “kesabaran mereka semakin tipis”.
Serangan Israel di Nablus itu merupakan antara yang paling teruk pernah berlaku di Tebing Barat sejak Intifada kedua atau pemberontakan Palestin pada tahun 2000 hingga 2005.
Angka kematian semalam adalah lebih tinggi daripada jumlah kematian serangan Israel bulan lalu di Jenin.
Sumber: Al Jazeera