Ekonomi
Inflasi keseluruhan tahun ini dijangka sederhana tapi kekal tinggi
Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras tahun ini menjadi sederhana tetapi kekal tinggi.

- “Inflasi teras dijangka kekal tinggi dalam jangka masa terdekat, sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada separuh pertama tahun 2022.” – Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus
- “Kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada serta lebihan kapasiti dalam ekonomi yang masih ada akan terus membendung sebahagian dari tahap tekanan inflasi yang meningkat.”
- “Prospek inflasi kekal sangat bergantung pada sebarang perubahan dasar dalam negeri serta perkembangan harga komoditi global,” katanya
KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras tahun ini menjadi sederhana tetapi kekal tinggi.
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, unjuran itu dibuat susulan keadaan tekanan kos dan permintaan yang berlarutan.
“Inflasi teras dijangka kekal tinggi dalam jangka masa terdekat, sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada separuh pertama tahun 2022.
“Kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada serta lebihan kapasiti dalam ekonomi yang masih ada akan terus membendung sebahagian daripada tahap tekanan inflasi yang meningkat.
“Prospek inflasi kekal sangat bergantung pada sebarang perubahan dasar dalam negeri serta perkembangan harga komoditi global,” katanya dalam sidang media Prestasi Ekonomi Malaysia bagi suku keempat dan tahun penuh 2022 di sini pada Jumaat.
Sementara itu, mengimbas kadar inflasi pada tahun 2022, Nor Shamsiah berkata, inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus tahun 2021 dan purata inflasi teras lebih tinggi pada 3.0 peratus berbanding 0.7 peratus tahun 2021.
Ujar beliau, inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 3.9 peratus pada suku keempat berbanding 4.5 peratus pada suku ketiga tahun lalu.
Katanya lagi, penurunan yang sederhana ini sebahagian besarnya disebabkan oleh luputnya kesan asas inflasi elektrik iaitu penyumbang utama kepada inflasi yang lebih tinggi pada suku ketiga tahun 2021.
“Trend penurunan dalam harga komoditi utama dunia sebahagiannya menyebabkan inflasi yang lebih rendah dalam beberapa barangan Indeks Harga Pengguna (IHP), termasuk bahan api.
“Inflasi beberapa bahan makanan ruji utama, seperti daging segar dan telur, juga menjadi sederhana pada suku tersebut.
“Bagaimanapun, kesan penurunan daripada faktor-faktor ini sebahagiannya diimbangi oleh inflasi teras yang lebih tinggi,” katanya.
Inflasi teras meningkat kepada 4.2 peratus berbanding 3.7 peratus pada suku ketiga tahun sama didorong oleh permintaan yang terus kukuh dalam keadaan persekitaran kos yang masih tinggi.
Sumber: Astro Awani
Ekonomi
Rasuah punca harga barang naik
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) senada dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kewujudan amalan rasuah dalam rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan di Malaysia merupakan antara faktor penyumbang utama kenaikan kos sara hidup rakyat.

- Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) senada dengan pandangan bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa amalan rasuah dalam rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan di Malaysia merupakan faktor penyumbang kenaikan kos sara hidup rakyat.
- Perkara itu dibuktikan menerusi kertas kerja Coalition for Business Integrity (CBI) yang mengenal pasti proses pembekalan barangan dan perkhidmatan yang punya unsur rasuah. – Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh
- Ujarnya, rasuah memberi kesan negatif kepada kehidupan seharian rakyat melalui inflasi buatan sehingga meningkatkan kos sara hidup.
- Rasuah juga menyumbang kepada tahap inflasi harga yang lebih tinggi serta menekan pendapatan orang ramai, sekali gus menggalakkan banyak rasuah membawa kepada kitaran ganas penindasan terhadap rakyat. – Ketua Pegawai Eksekutif CBI, Mark Chay
SHAH ALAM: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) senada dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kewujudan amalan rasuah dalam rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan di Malaysia merupakan antara faktor penyumbang utama kenaikan kos sara hidup rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh berkata, perkara itu dibuktikan menerusi satu kertas kerja oleh Coalition for Business Integrity (CBI) yang mengenal pasti proses pembekalan barangan dan perkhidmatan yang mempunyai unsur rasuah akan menyebabkan peningkatkan kos.
Beliau berkata, ekoran kos pengurusan perniagaan yang semakin meningkat, kesannya terpaksa ditanggung oleh rakyat sebagai pengguna akhir.
Menurut beliau, hasil dapatan daripada kertas kerja itu juga mendedahkan bagaimana rasuah memberi kesan kepada kos sara hidup pengguna, melalui penciptaan tekanan menaik ke atas harga barangan dan perkhidmatan pengguna.
“Penyelidikan kolaboratif ini mendapati bagaimana rasuah sistemik bukan suatu yang hanya memberi kesan kepada peringkat tertinggi masyarakat, malah sebenarnya turut memberi kesan negatif kepada kehidupan seharian rakyat melalui inflasi buatan sehingga meningkatkan kos sara hidup.
“Dengan tumpuan pada sektor pembinaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan, penyelidikan dilakukan oleh IDEAS dan CBI ini juga mendapati bahawa pemberian habuan adalah satu bentuk rasuah yang paling biasa dalam sektor swasta dan awam.
“Namun begitu, terdapat juga bentuk-bentuk rasuah lain termasuk perbuatan peras ugut, penyelewengan, penipuan, penyalahgunaan budi bicara serta sifat pilih kasih,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CBI, Mark Chay turut sependapat dengan Dr Mahathir dan menegaskan bahawa pelbagai masalah yang dihadapi Malaysia adalah berpunca daripada kekurangan integriti yang berleluasa dalam menguruskan sumber-sumber negara.
Beliau berkata, amalan rasuah dan salah guna kuasa telah mengganggu persaingan sihat, menyekat pembangunan sektor swasta, menyebabkan halangan kemasukan para pelabur asing, menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam serta menghasilkan perbelanjaan kerajaan yang tidak cekap.
Tambah beliau, perbuatan rasuah juga menyumbang kepada tahap inflasi harga yang lebih tinggi serta menekan pendapatan orang ramai, sekali gus menggalakkan lebih banyak rasuah yang membawa kepada kitaran ganas penindasan terhadap rakyat.
“Salah satu sebab punca kos sara hidup naik adalah disebabkan oleh rasuah apabila perkara itu berkait rapat dengan isu kos melaksanakan perniagaan.
“Ini berlaku apabila urusan perniagaan diselitkan dengan keperluan untuk merasuah, malah perbuatan jijik rasuah ini dikira sebagai kos pengurusan perniagaan.
“Semua itu seterusnya dikembalikan dan disalurkan kepada masyarakat atau dikenali sebagai trickle-down effect,” katanya.
Pada sidang media selepas menghadiri Forum Usahawan Bumiputera, ‘Membina Daya Tahan Ekonomi Bumiputera Dan Cabaran Masa Hadapan’ di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Sabtu, Dr Mahathir menegaskan, kos sara hidup di Malaysia meningkat kerana rasuah yang berleluasa.
Menurut Dr Mahathir, apabila setiap urusan diselitkan elemen rasuah, ia menyebabkan harga barang dan perkhidmatan menjadi semakin mahal.
Sumber: Astroawani
-
Antarabangsa2 days ago
10 hakim berdepan hukuman mati di Arab Saudi
-
Terkini2 days ago
Larangan ke gereja adalah manifestasi disiplin Islam
-
Antarabangsa2 days ago
Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang
-
Antarabangsa2 days ago
Peguam nafi Zakir Naik diusir dari Oman