Connect with us

Terkini

Guru KAFA terkilan gaji warga asing lebih tinggi, nasib tidak terbela

Peribahasa kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan dalam konteks bayaran upah rendah dan perjawatan kontrak guru-guru program Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sinonim dengan situasi negara kita pada hari ini.

Rasyidah Zulkifli

Published

on

Guru KAFA terkilan gaji warga asing lebih tinggi, nasib tidak terbela
Foto: Gambar suasana murid-murid dalam program KAFA di sebuah sekolah yang terletak di Selangor.
  • Afifah menginginkan standard guru KAFA di Malaysia tidak berada di tahap terlalu rendah berbanding pekerja warga asing.
  • Warga asing menerima banyak kemudahan dan gaji yang setaraf atau lebih berbanding guru KAFA sedangkan mereka bukan rakyat Malaysia.
  • Rata-rata guru KAFA terpaksa mencari pekerjaan sambilan atau membuat dua kerja kerana upah yang diterima tidak mencukupi.
  • Ketika diberikan pilihan elaun dinaikkan atau tawaran perjawatan tetap, rata-rata guru KAFA memilih perjawatan tetap walaupun menerima upah murah.

Peribahasa kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan dalam konteks bayaran upah rendah dan perjawatan kontrak guru-guru program Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sinonim dengan situasi negara kita pada hari ini.

Orang ramai seolah-olah sudah lali dengan kenyataan bahawa pendapatan pekerja asing hari ini lebih lumayan dan mereka juga mendapat layanan istimewa dengan kemudahan-kemudahan tertentu berbanding warganegara sendiri.

Walaupun isu KAFA ini sudah lama dibahaskan, namun nampaknya nasib guru-guru agama ini masih tidak dibela sepenuhnya dan setakat menjadi retorik politik acap kali musim pilihan raya umum (PRU) tiba.

Ketika ditemui The Merdeka Times, beberapa Ketua Guru sekolah KAFA yang enggan dikenali atas faktor keselamatan meluahkan rintihan mereka sepanjang lebih dua dekad berkhidmat sebagai guru KAFA.

Salah seorang Ketua Guru yang hanya dikenali sebagai Ustazah Afifah menyifatkan perkara itu tidak patut berlaku dalam Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Kita yang menyampaikan ilmu agama ini ilmu itu bukan setakat di dunia, sepatutnya level kita agak tinggi sebab warga asing ini mereka datang dengan berbagai-bagai kemudahan. 

“Kita nak menjadi guru KAFA bukan sahaja mesti ada kelulusan, kita melalui berbagai-bagai proses dan bila pendapatan kita dapat agak sikit dan kemudahan kita tak seperti mereka, nak berurusan dengan bank pun susah. 

“Kalau kita pergi ke hospital kerajaan pun kita tiada keistimewaan tersebut menunjukkan kita di negara Islam seolah-olah dianak tirikan,” katanya.

Ustazah Afifah (bukan nama sebenar) dalam sesi luahan nasib bersama pasukan The Merdeka Times.

Tambah Afifah, dia mahukan standard guru-guru KAFA di Malaysia tidak berada di tahap terlalu rendah jika dibandingkan dengan kemudahan-kemudahan yang diterima pekerja warga asing dalam negara ini.

“Yang memang memegang tampuk adalah orang Islam, jadi apa salahnya kita diberi sedikit pengiktirafan atau keistimewaan,” katanya.

Memberi respon terhadap usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memperhalusi isu elaun rendah dan perjawatan kontrak, katanya yang diinginkan oleh semua guru KAFA bukannya permintaan yang banyak.

“Bukan kita nak diiktiraf macam guru-guru KPM, kita faham tugas mereka, cuma keistimewaan itu dapat dan gaji kalau boleh lebih sikit dari RM1,500, sebab warga asing pun dapat had minima itu. 

“Kita cuma nak dihargai dengan ilmu yang kita ada, kita berhadapan nak membentuk manusia dan modal insan yang akan datang. Macam tugas pengawal keselamatan besar menjaga keselamatan, kita pun bukan setakat menjaga keselamatan murid, malah kita nak mendidik mereka untuk menjadi generasi yang akan memimpin negara kita sendiri. 

“Kalau boleh naikkan sikit (bayaran) agar kita ada sedikit keistimewaan, tidak lagi dipanggil elaun, tapi dipanggil gaji dan sebagainya,” katanya.

Seorang lagi Ketua Guru berkata kos sara hidup dahulu tidak sama seperti sekarang kerana ia semakin meningkat hari demi hari.

“Saya sendiri dah berkhidmat sebagai guru KAFA lebih 20 tahun. Sekarang jawatan saya masih kontrak. 

“Ini pendapat peribadi saya, kalau ikutkan pendapatan yang kami dapat dengan kos sara hidup sekarang tidak memadai sebab kita dah maklum kos sara hidup semakin tinggi, kalau anak ramai saya rasa tak cukuplah dengan pendapatan yang kami dapat. 

Salah seorang Ketua Guru sebagai responden kedua dalam laporan khas ini.

“Dulu masa mula-mula saya mengajar, gaji RM433 selepas itu kenaikan sedikit demi sedikit sehinggalah sekarang RM1,800. Itu untuk jawatan Ketua Guru. Kalau guru yang biasa RM1,500,” katanya.

Tambahnya, rata-rata guru KAFA terpaksa mencari pekerjaan sambilan atau membuat dua kerja kerana upah yang diterima tidak mencukupi.

“Saya ambil upah mengajar mengaji, kelas tuisyen, kelas mengaji orang dewasa dan juga buat kuliah sebulan sekali. 

“Semua guru KAFA macam itu, tak cukup dengan satu kerjaya, mesti nak ada kerja lainlah sebab gaji guru KAFA tak cukup,” katanya.

Seorang Ketua Guru yang tidak mahu namanya disiarkan, mengakui sudah lama dalam perjawatan kontrak guru KAFA kini berhasrat pula untuk mencuba nasib sebagai guru Kementerian Pendidikan (KPM) dan dalam proses menyambung pengajian jarak jauh (PJJ) di peringkat sarjana muda.

“Kalau dah sampai degree, guru KPM confirm gaji sudah RM5,000. Macam saya dapat tahap diploma KPM pun dah okey, RM2,300. Itu belum campur elaun tambahan. Kita RM1,700 dah potong itu ini, dapat berapa sahaja. Dapat RM2,300 pun dah okey sangat-sangat sebenarnya.

“Kalau diikutkan ekonomi sekarang, semua orang nak banyak. Apa yang kita dapat dan apa kita beri sepatutnya relevan sebab ramai yang dah ada diploma, ijazah, tapi apa yang dapat tak setimpal. 

Responden terakhir yang bercadang untuk mencuba kerjaya sebagai guru KPM.

“Kenapa bila di tahap KAFA ini, gaji dia tak setimpal, padahal waktu kerjanya sama. Macam kami sebagai Ketua Guru wajib kerja macam guru besar sekolah kebangsaan dan sekolah rendah agama, enam jam,” katanya.

Kongsinya, dia terpaksa menganjakkan waktu bekerja sehingga ke lewat petang disebabkan bebanan tugas, bagaimanapun terkilan kerana usaha itu tidak dipandang oleh kerajaan.

“Buat kerjanya sama, mendidik anak-anak bangsa, bukannya kita acah-acah mengajar. Lagi satu kita ini sebenarnya menaikkan agama Islam, jadi sepatutnya di situ diperhalusi sebab kita mengajar KAFA, perkara-perkara yang kita akan bawa ke alam sana. 

“Kalau boleh kita nak seimbang, akhirat macam KAFA ini kita bawa nak beramal dari kecil sampai besar sebab pengalaman saya ada seorang ibu ini dia malu dengan pertanyaan anak yang tak tahu mandi wajib ketika datang haid, jadi kat situ, nampak tak kehidupan seorang remaja, adab itu bermula dari KAFA. 

“Saya tak nafi sekolah kebangsaan punya J-QAF itu, pengajiannya lebih kurang, cuma KAFA lebih detail. Bila nak dibandingkan gaji memang tak setimpal sebab bila kita ajar budak dia akan peganglah sampai dia dewasa, kahwin dan beranak hingga tahu macam mana nak mandi wiladah,” katanya.  

Ketika diberi pilihan sama ada kadar elaun dinaikkan atau perjawatan tetap dalam perkhidmatan guru KAFA, rata-rata guru yang ditemu bual mahukan perjawatan tetap kerana ia lebih menjamin hari tua mereka berbanding upah bulanan yang diterima.

Menurut mereka, elaun bulanan hanya boleh dapat pada masa itu sahaja sebab semua guru KAFA tertakluk di bawah terma dan syarat Contract For Service (CFS) dan bukannya Contract Of Service (COS).

CFS merupakan kontrak pembelian perkhidmatan daripada majikan dan bukan kontrak mengambil seseorang bekerja yang tidak mengguna pakai sebarang skim perkhidmatan, gred jawatan, kadar gaji serta sebarang peraturan sebagaimana yang ditetapkan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

Manakala, COS mengguna pakai skim perkhidmatan, gred dan kadar gaji sebagaimana yang ditetapkan oleh JPA dengan dua jenis kaedah pembayaran menerusi peruntukan OS11000 dan OS29000 – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Antarabangsa

(VIDEO) NATO perlu elak “double-standard” dalam isu Gaza, Ukraine – PM Sepanyol

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) harus jelas dalam tindakannya untuk tidak bersikap “dwistandard” (double standard) dalam isu peperangan di Ukraine dan Gaza, kata Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) harus jelas dalam tindakannya untuk tidak bersikap “dwistandard” (double standard) dalam isu peperangan di Ukraine dan Gaza, kata Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.

Sanchez berkata perkara itu penting untuk menyampaikan kepada semua pihak bahawa apa dipertahankan NATO bukan hanya undang-undang antarabangsa, tetapi pendirian yang konsisten.

Beliau juga menggesa gencatan senjata kekal dilakukan di Gaza supaya “malapetaka kemanusiaan” yang disaksikan di wilayah Palestin itu dapat dihentikan.

“Ia sangat penting untuk rakyat kita fahami bahawa apa yang kita pertahankan di Gaza dan di Ukraine bukan sahaja (berkenaan) undang-undang antarabangsa, tetapi kita (sendiri) ada kedudukan yang konsisten.

“Kedudukan konsisten politik jelas bahawa kita tidak mengamalkan dwistandard. 

“Jadi jika kita memberitahu rakyat kita bahawa kita menyokong Ukraine kerana kita mempertahankan undang-undang antarabangsa, ia sama dengan apa yang kita perlu lakukan terhadap Gaza,” kata Sanchez dalam klip video disiarkan Al Jazeera ketika berucap di Sidang Kemuncak NATO di Washington, Amerika Syarikat, semalam.

Media melaporkan Ketua NATO, Jens Stoltenberg dalam ucapan akhirnya di sidang sama langsung tidak menyebut mengenai serangan rejim Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Insiden itu berlaku ketika beberapa pemimpin memberi amaran bahawa berdiam diri mengenai situasi di Gaza boleh menjejaskan komitmen perikatan ketenteraan itu terhadap hak asasi manusia. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending