Terkini
Undang-undang parti politik yang tidak boleh dicabar di mahkamah perlu dipinda
Seksyen 18C Akta Persatuan 1966 yang dilihat melangkaui kuasa mahkamah dalam memutuskan suatu keputusan perlu dikaji semula sama ada melalui pindaan akta atau cabaran di mahkamah mengenai kesahihan proviso (syarat dalam sesuatu perjanjian) itu.
- Seksyen 18C Akta Persatuan 1966 dilihat melangkaui kuasa mahkamah dalam putuskan satu keputusan perlu dikaji semula sama ada melalui pindaan akta atau cabaran di mahkamah mengenai kesahihan proviso (syarat dalam sesuatu perjanjian) itu.
- Sepatutnya kuasa mahkamah untuk semakan kehakiman sesuatu perkara tidak boleh dibatasi oleh peruntukkan undang undang dalam sesuatu akta khusus kerana akan langgar prinsip pemisahan kuasa dan kedaulatan undang undang. – Setiausaha Majlis Peguam, Salim Bashir
- Isu pemecatan dan penggantungan ahli UMNO boleh dicabar di mahkamah kerana tiada lagi rujukan kes sebelum ini menyatakan sama ada perlembagaan parti atau akta berkenaan yang lebih berkuasa.
KUALA LUMPUR: Seksyen 18C Akta Persatuan 1966 yang dilihat melangkaui kuasa mahkamah dalam memutuskan suatu keputusan perlu dikaji semula sama ada melalui pindaan akta atau cabaran di mahkamah mengenai kesahihan proviso (syarat dalam sesuatu perjanjian) itu.
Setiausaha Majlis Peguam, Salim Bashir, berkata sepatutnya kuasa mahkamah untuk semakan kehakiman sesuatu perkara tidak boleh dibatasi oleh peruntukan undang undang dalam sesuatu akta yang khusus kerana ia akan melanggar prinsip pemisahan kuasa dan kedaulatan undang undang.
“Jika diteliti klausa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, jelas menyatakan bahawa keputusan dalaman parti politik tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mahkamah.
“Tetapi Mahkamah Persekutuan dalam beberapa kes sebelum ini pernah membuat keputusan bahawa kewujudan klausa yang menghalang mana-mana cabaran sesuatu perkara di mahkamah didapati melanggar peruntukkan Artikel 4 dan Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Kelmarin BH melaporkan, peguam M Reza Hassan berpendapat berdasarkan kes pemecatan dan penggantungan ahli UMNO, mahkamah perlu menjalankan peranannya sebagai institusi semak dan imbang terutama apabila Parlimen menggubal undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan.
RoS perlu semak
Sementara itu, Ketua Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Mahadee Ismail, berkata perlembagaan parti dan akta sedia ada adalah dua perkara berbeza, tetapi tafsiran yang sebenar tetap perlu ditentukan oleh kuasa mahkamah.
Isu pemecatan dan penggantungan ahli UMNO memang boleh dicabar di mahkamah kerana tiada lagi rujukan kes sebelum ini yang boleh menyatakan sama ada perlembagaan parti atau akta berkenaan yang lebih berkuasa.
“Tetapi kalau tengok dari kaca mata perundangan, sepatutnya semua parti politik perlu mengikut akta sedia ada, pada masa sama, parti itu bebas untuk menentukan perlembagaan sendiri.
“Jadi di sini timbul keraguan sejauh mana parti berkenaan boleh melaksanakan perlembagaan sendiri dan sejauh mana parti itu boleh mengikut apa yang sudah ditetapkan dalam sesuatu akta itu.
Bagaimanapun, beliau berpendapat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sepatutnya menyemak dan mengawal selia pada peringkat awal perlembagaan sesebuah parti sama ada ia melanggar akta atau pun tidak.
Sekiranya daripada awal RoS mendapati perlembagaan parti bercanggah dengan akta sedia ada, perkara ini tidak akan berlaku.
Sumber: Berita Harian