Antarabangsa
Turkiye mungkin lebih positif Finland sertai NATO berbanding Sweden
Merujuk kepada permohonan Sweden dan Finland untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata respon Turkiye terhadap Finland mungkin ‘berbeza’ dari Sweden, demikian lapor TRT World.
- Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata respon Turkiye terhadap permohonan Finland menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), mungkin ‘berbeza’ dari Sweden.
- Sweden akan terkejut apabila kami bertindak balas secara berbeza kepada Finland. Tetapi Finland tidak sepatutnya melakukan kesilapan yang sama,” – Recep Tayyip Erdogan.
- Turkiye enggan menyokong Sweden susulan tindakan biadab ahli politiknya, Rasmus Paludan membakar Al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm.
Merujuk kepada permohonan Sweden dan Finland untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata respon Turkiye terhadap Finland mungkin ‘berbeza’ dari Sweden, demikian lapor TRT World.
“Kami mungkin bertindak balas secara berbeza kepada Finland jika perlu. Sweden akan terkejut apabila kami bertindak balas secara berbeza kepada Finland. Tetapi Finland tidak sepatutnya melakukan kesilapan yang sama,” kata Erdogan dalam satu pertemuan dengan belia di wilayah Bilecik di negara itu.
Erdogan berkata tindak balas Turkiye mungkin lebih positif terhadap Finland berbanding Sweden.
Selain itu, Ankara turut memberikan senarai 120 orang kepada Sweden untuk ekstradisi ke Turkiye.
“Anda perlu mengekstradisi pengganas ini supaya anda boleh memasuki NATO,” katanya.
Terdahulu, Turkiye mengeluarkan kenyataan tidak menyokong permohonan Sweden menyertai NATO susulan tindakan biadab ahli politiknya, Rasmus Paludan membakar Al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm.
Tindakan Paludan itu dikatakan untuk membantah penangguhan Turkiye terhadap permohonan penyertaan Sweden dan Finland ke dalam NATO.
Sweden dan Finland membuat permohonan rasmi untuk menyertai Pakatan Nato pada Mei tahun lalu, keputusan yang didorong tindakan ketenteraan Rusia terhadap Ukraine yang bermula sejak 24 Februari 2022.
Bagaimanapun, Turkiye selaku negara anggota NATO lebih tujuh dekad itu membantah, menuduh kedua-dua negara menyokong kumpulan pengganas, termasuk PKK dan Pertubuhan Pengganas Fetullah (FETO) iaitu kumpulan dalang di sebalik cubaan rampasan kuasa di Turkiye pada 15 Julai 2016.
Sumber: TRT World