Terkini
Rakyat Malaysia diseru sertai demonstrasi bantahan bakar al-Quran di Sweden
Pemuda PAS Malaysia menyeru semua umat Islam dan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang bersama-sama bersolidariti membantah..
- Pemuda PAS Malaysia menyeru semua umat Islam dan rakyat Malaysia tanpa mengira sebarang latar belakang bersama-sama mengadakan demonstrasi solidariti bantahan penghinaan agama Islam oleh ahli politik Sweden pada Jumaat ini.
- Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata demonstrasi bantahan itu akan diadakan selepas solat Jumaat di Masjid KLCC dan mereka yang mengikutinya dijangka akan berarak menuju ke Kedutaan Sweden.
- Beliau dalam kenyataan berbeza, menyeru dan menggesa umat Islam di seluruh dunia, gerakan Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam tindakan Islamofobik itu sebagai tanda solidariti umat Islam mempertahankan maruah umat Islam.
- Pada 21 Januari lalu, ahli politik Sweden-Denmark Islamofobik, Rasmus Paludan bertindak membakar senaskah al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm yang membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia.
KUALA LUMPUR – Pemuda PAS Malaysia menyeru semua umat Islam dan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang bersama-sama bersolidariti membantah penghinaan Islam oleh ahli politik Sweden Islamofobik pada Jumaat ini.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata demonstrasi bantahan itu akan diadakan selepas solat Jumaat di Masjid KLCC.
Demonstrasi bantahan itu akan disusuli dengan perarakan solidariti menuju ke Kedutaan Sweden.
“Dewan Pemuda PAS Malaysia mengecam keras tindakan Rasmus Paludan, ahli politik di Sweden yang telah bertindak membakar kitab suci al-Quran dalam protesnya terhadap Turkiye.
“Penghinaan agama Islam di Sweden bukanlah julung kalinya berlaku. Bahkan telah bertalu-talu dizahirkan serta ditanamkan oleh mereka Islamophobia pada pandangan dunia.
“Justeru, berdiam diri bukanlah tindakan tepat kepada kita sebagai seorang Muslim. Ayuhlah kita memberikan signal jelas kepada kerajaan Sweden agar tidak berdiam diri dan mengambil tindakan yang sewajarkan terhadap individu-individu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan dikongsikan menerusi Whatsapp di sini hari ini.
Dalam kenyataan berasingan, Ahmad Fadhli turut menyeru dan menggesa umat Islam di seluruh dunia, gerakan Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengecam tindakan Islamofobik itu sebagai tanda solidariti umat Islam mempertahankan maruah umat Islam.
Beliau berkata melalui kecaman dan penyatuan umat Islam, ia dapat mewujudkan tekanan kepada kerajaan Sweden agar mengambil tindakan terhadap ahli politik ekstrem itu.
Katanya, kerajaan Malaysia perlu memanggil Duta Besar Sweden ke Malaysia untuk menjelaskan bentuk tindakan yang akan dikenakan kerajaan Sweden ke atas Rasmus Paludan.
“Pemuda PAS memandang tindakan sebegini adalah politik lapuk yang menzahirkan kemunafikan politik diamalkan barat yang selama ini kononnya mengamalkan nilai-nilai murni dalam berpolitik.
“Pemuda PAS mempersoalkan tindakan tidak bertamadun Rasmus Paludan, apakah dengan berbuat sedemikian, ketidakpuasan hati beliau dan pengikutnya akan dapat diselesaikan? Sudah tentu tidak,” katanya dalam kenyataan itu yang dikeluarkan semalam.
Sebelum ini, media melaporkan Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm di bawah perlindungan ketat polis dengan kehadiran kira-kira 100 orang, termasuk sejumlah besar wartawan.
Selepas mengecam hampir sejam yang mana dia menyerang Islam dan Imigresen di Sweden, Paludan membakar al-Quran dengan pemetik api.
Lebih mengecewakan, The Washington Post melaporkan ahli politik itu didakwa menerima permit daripada kerajaan Sweden untuk membakar kitab suci umat Islam itu. – The Merdeka Times