Antarabangsa
Pemimpin pelbagai agama solidariti dengan Kristian dianiaya di India
Hampir 300 pemimpin pelbagai agama berhimpun di New Delhi bagi menunjukkan solidariti dengan penganut Kristian yang dipaksa meninggalkan rumah mereka di negeri Chhattisgarh, India.

- 300 pemimpin pelbagai agama berhimpun di hadapan Katedral Sacred Heart New Delhi.
- Mereka solidariti dengan penganut Kristian yang dipaksa meninggalkan rumah mereka di negeri Chhattisgarh, India.
- Pertemuan berlangsung pada 8 Januari lalu dianjurkan Suruhanjaya Ekumenisme dan Dialog Antara Agama Keuskupan Agung Delhi.
- Penganut Hindu, Islam, Buddha, Yahudi dan Baha’i menyalakan lilin dan berdoa bersama-sama, menuntut campur tangan kerajaan India.
Hampir 300 pemimpin pelbagai agama berhimpun di New Delhi bagi menunjukkan solidariti dengan penganut Kristian yang dipaksa meninggalkan rumah mereka di negeri Chhattisgarh, India.
Memetik laporan Vatican News, penganut Hindu, Islam, Buddha, Yahudi dan Baha’i menyalakan lilin dan berdoa bersama-sama, meminta kerajaan India untuk campur tangan dan menghentikan keganasan terhadap penganut Kristian, yang menjadi sasaran hanya kerana enggan meninggalkan agama mereka.
Pertemuan itu dianjurkan Suruhanjaya Ekumenisme dan Dialog Antara Agama Keuskupan Agung Delhi pada 8 Januari lalu di hadapan Katedral Sacred Heart.
Serangan terhadap penganut Kristian tertumpu di Narayanpur dan Kondagaon di negeri itu, dilakukan bukan Kristian dan disokong kumpulan nasionalis bertujuan menekan penganut Kristian di sana untuk kembali kepada amalan animisme tradisional.
Hampir 18 kampung di Narayanpur dan 15 kampung di Kondagaon diserang.
Kira-kira 1,000 orang telah kehilangan tempat tinggal akibat serangan dan tekanan sosial yang bermula pada minggu kedua Disember.
Uskup Agung Anil Joseph Thomas Couto dari Delhi memberi jaminan sokongan pihak gereja kepada mangsa dan menyeru pihak berkuasa tempatan serta kerajaan persekutuan mengambil tindakan segera bagi mengawal keadaan.
Setiap ketua agama yang hadir pada pertemuan itu turut bersuara, menggesa menghormati agama lain.
Menurut rekod pada 2021, wilayah itu menghadapi gelombang serangan terbesar terhadap penganut Kristian India dan merupakan salah satu daripada banyak negeri di India yang meluluskan undang-undang anti-penukaran.
Penyerang juga sering memberitahu Adivasis, atau orang asli Kristian, bahawa jika mereka ingin kekal sebagai Kristian, mereka mesti meninggalkan kampung mereka atau terus diserang, demikian menurut seorang pemimpin Kristian tempatan.
Sumber: Vatican News
