Terkini
‘KPM usah tunduk dengan tekanan Jiao Zong’ – Ketua Biro Pendidikan Armada
Kementerian Pendidikan (KPM) digesa agar tidak tunduk dengan tekanan daripada Presiden Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

- KPM digesa agar tidak tunduk dengan tekanan daripada Pengerusi Jiao Zong, sebaliknya, diharapkan agar kekal teguh dengan dasar satu kurikulum untuk semua subjek.
- Menurut Ketua Biro Pendidikan Armada Bersatu Nasional, Muhammad Zikri Zulkifli tuntutan yang dibuat Jiao Zong wajib ditolak sekeras-kerasnya kerana tidak munasabah.
- Ujarnya, Bahasa Melayu bukan sahaja merupakan bahasa ibunda murid Melayu, tetapi juga merupakan Bahasa Kebangsaan negara ini.
- “Justeru itu, kami menyeru agar jumlah masa pengajaran Bahasa Melayu di SJK ditingkatkan serta silibus Bahasa Melayu di SJK diselaraskan,” katanya.
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa agar tidak tunduk dengan tekanan daripada Presiden Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).
Sebaliknya, kementerian itu diharapkan agar kekal teguh dengan dasar menggunakan satu kurikulum dan sukatan pelajaran untuk semua subjek, khususnya subjek yang berunsur pembentukan negara bangsa.
Menurut Ketua Biro Pendidikan Armada Bersatu Nasional, Muhammad Zikri Zulkifli tuntutan yang dibuat Jiao Zong wajib ditolak sekeras-kerasnya.
“Kami berpendapat, alasan yang diberi melalui kenyataan yang dibuat pada 8 Januari 2023 oleh Jiao Zong untuk membantah penggunaan bank soalan yang sama untuk subjek Bahasa Melayu bagi SK dan juga SJK adalah tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Foto: Kenyataan media ARMADA
Antaranya, penggunaan soalan dari bank soalan yang sama untuk Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi semua aliran sekolah adalah berlawanan dengan prinsip pendidikan.
Selain itu, Jiao Zong berkata, jumlah masa pengajaran Bahasa Melayu juga berlainan antara SK dan SJK serta bahasa itu merupakan bahasa ibunda murid Melayu.
“Armada Bersatu ingin menegaskan bahawa Bahasa Melayu bukan sahaja merupakan bahasa ibunda murid Melayu, tetapi juga merupakan Bahasa Kebangsaan negara ini,” katanya.
Jelas Exco Armada Bersatu Nasional itu Jiao Zong sepatutnya memahami bahawa proses pendidikan negara turut merangkumi usaha menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan agama melalui penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul dan meluas.
“Justeru itu, kami menyeru agar jumlah masa pengajaran Bahasa Melayu di SJK ditingkatkan serta silibus Bahasa Melayu di SJK diselaraskan.
“Ini bakal melahirkan lebih ramai pelajar SJK yang menguasai Bahasa Melayu dengan baik dan fasih justeru mengukuhkan usaha menjayakan perpaduan nasional,” katanya. – THE MERDEKA TIMES

You must be logged in to post a comment Login