Terkini
Isu arak: Teng Chang Kim bersikap biadap – Pemuda PAS Selangor
Pemuda PAS Selangor menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Teng Chang Khim mengaitkan isu arak dengan memperlekehkan solat secara langsung, sebagai biadap.
- Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar membidas kenyataan biadab ADUN Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim di Facebook apabila mengaitkan isu arak dengan memperlekehkan solat secara langsung.
- Mohamed Sukri mahu tindakan tegas dikenakan terhadapnya kerana mempermainkan ibadah solat yang diwajibkan kepada Muslim.
- “Isunya ialah penjualan arak secara terbuka dan inilah yang ditentang, sama ada berbentuk penjualan mahupun pesta yang dianjurkan dan sebab itu Pemuda Pas Selangor malah seluruh negara pasti akan bangkit menentang hal yang sama,” katanya membela tindakan Yb Muhammad Fawwaz.
- Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mat Jan sebelum ini berkunjung ke sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya dan menyatakan bantahan terhadap penjualan arak secara terbuka di situ.
KUALA LUMPUR – Pemuda PAS Selangor menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Teng Chang Khim mengaitkan isu arak dengan memperlekehkan solat secara langsung, sebagai biadap.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata hantaran di FB milik Teng Chang Kim jelas biadap apabila sengaja memainkan sentimen agama dengan memperlekehkan umat Islam serta solat.
Katanya, menerusi hantaran itu ditulis: “Kalau kamu tak minum tapi tengok pun boleh mabuk, itu masalah kamu, bukan masalah arak. Sia-sia kamu sembahyang”.
“YB Teng Chang Khim banyak masa kosong dengan sibukkan diri dalam isu berkaitan arak sekalipun ia di luar negeri Selangor. Sedangkan isu arak ini datangkan kerosakan lebih besar sehingga ada isu-isu kemalangan jalan raya sehingga ada yang terkorban disebabkan kes mabuk.
“Isunya ialah penjualan arak secara terbuka dan inilah yang ditentang, sama ada berbentuk penjualan mahupun pesta yang dianjurkan dan sebab itu Pemuda Pas Selangor, malah seluruh negara pasti akan bangkit menentang hal yang sama.
“Sebagaimana YB Teng Chang Khim sanggup “merentas negeri” dengan hantaran yang biadab lagi celupar kerana “sayang sangat” pada arak, maka kami Pemuda PAS Negeri Selangor juga bangkit mempertahankan YB Muhammad Fawwaz atas tindakannya dan akidah yang satu,” katanya dalam kenyataan di FB Pemuda PAS Selangor pada kelmarin.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mat Jan berkunjung ke sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya dan menyatakan bantahan terhadap penjualan arak secara terbuka di situ.
Ketua Pemuda PAS Selangor itu juga mempersoalkan EXCO lain yang beragama Islam dalam kerajaan negeri Selangor tetapi berdiam diri dalam isu itu.
“Malunya negeri Selangor kerana sikap YB ini yang celupar, biadap serta memperlekehkan solat,” katanya.
Beliau berkata terdapat banyak kenyataan media, sama ada secara bertulis atau lisan sebelum ini, juga menyiarkan betapa arak hanya membawa kemudaratan.
“Akal yang waras pasti tidak menerima arak itu sesuatu yang membawa kebaikan yang banyak,” katanya. – The Merdeka Times
Sumber: Facebook Pemuda PAS Selangor