Terkini
‘Asal berbeza pandangan dituduh gunting dalam lipatan’ – Shahril
Naratif ‘gunting dalam lipatan’ tidak seharusnya menjadi fokus perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
- Naratif ‘gunting dalam lipatan’ tidak seharusnya menjadi fokus perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
- Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berkata berbeza pandangan dalam parti tidak bermakna seseorang individu itu adalah ‘gunting dalam lipatan’.
- Shahril yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO berkata, perbuatan itu hanya menanam kebencian terhadap individu dan kelompok tertentu hingga merugikan parti.
- Perwakilan seharusnya menumpukan kepada prestasi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan melakukan perubahan untuk kekal relevan.
KUALA LUMPUR – Naratif ‘gunting dalam lipatan’ tidak seharusnya menjadi fokus perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berkata berbeza pandangan dalam parti tidak bermakna seseorang individu itu adalah ‘gunting dalam lipatan’.
Shahril yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO berkata, perbuatan itu hanya menanam kebencian terhadap individu dan kelompok tertentu sehingga merugikan parti.
“Asal beza pandangan, gunting dalam lipatan. Asal ada beza pendirian, api dalam sekam.
“Bibir kita menyebut kesatuan parti, tapi next sentence (ayat kemudian) kita ialah ini semua pengkhianat-pengkhianat,” katanya pada Persidangan Agung Pemuda UMNO di PAU 2022 di ibu negara di sini semalam.
Dalam klip video TikTok itu, Shahril berkata perwakilan seharusnya menumpukan kepada prestasi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan melakukan perubahan untuk kekal relevan.
“Keputusan pilihan raya umum ke lima belas itu sendiri puncanya ubatnya ataupun naratif lain yang mana kita mengalihkan perhatian kita sedikit untuk memikirkan ataupun melalui satu proses demonisasi, kalau boleh saya wujudkan perkataan istilah baru.
“Kalau kita pilih naratif yang kedua itu (naratif gunting dalam lipatan) sebagai fokus naratif kita pada PAU kali ini, maka kita akan seronok memikirkan dan melabel yang ini pengkhianat, yang itu broker, yang ini ejen Muhyiddin, yang ini ‘barua’ Perikatan Nasional,” katanya.
UMNO hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi Parlimen ditandingi pada PRU15 yang membawa kepada pembentukan kerajaan campuran diterajui Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menegaskan agenda UMNO adalah memperkukuhkan semula parti selepas mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya berbanding melayani kehendak individu yang bersifat ‘gunting dalam lipatan’. – The Merdeka Times
Sumber: TikTok