Connect with us

Antarabangsa

Andrew Tate kekal ditahan 30 hari – Mahkamah Romania

Mahkamah Romania mengekalkan tahanan 30 hari ke atas personaliti media sosial, Andrew Tate atas tuduhan jenayah terancang, pemerdagangan manusia dan rogol, demikian lapor Aljazeera.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Andrew Tate kekal ditahan 30 hari – Mahkamah Romania
Foto: Andrew Tate dan adiknya, Tristan Tate.
  • Keputusan Mahkamah Romania pada Selasa lalu mengekalkan tahanan 30 hari ke atas personaliti media sosial, Andrew Tate.
  • Dia dan adiknya, Tristan berserta dua wanita Romania ditahan pada 29 Disember 2022 atas tuduhan jenayah terancang, pemerdagangan manusia dan rogol.
  • Mahkamah Rayuan Bucharest menolak kesemua empat rayuan terhadap keputusan hakim pada 30 Disember lalu yang membenarkan permintaan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh penahanan. 
  • Hakim memutuskan demikian kerana terdapat kemungkinan mereka mengelak dari penyiasatan dan meninggalkan Romania untuk menetap di negara yang tidak membenarkan ekstradisi.

Mahkamah Romania mengekalkan tahanan 30 hari ke atas personaliti media sosial, Andrew Tate atas tuduhan jenayah terancang, pemerdagangan manusia dan rogol, demikian lapor Aljazeera.

Menurut jurucakap agensi jenayah anti-organisasi Romania DIICOT, Ramona Bolla, mahkamah di Bucharest menolak rayuan Andrew terhadap keputusan awal hakim untuk melanjutkan tahanannya dari sehari kepada 30 hari.

Andrew, 36, warga Britain-Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai 4.5 juta pengikut di Twitter, pada mulanya ditahan pada 29 Disember lalu selama 24 jam bersama adik lelakinya, Tristan. Dua wanita Romania turut ditahan.

Mahkamah Rayuan Bucharest menolak kesemua empat rayuan terhadap keputusan hakim pada 30 Disember lalu yang membenarkan permintaan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh penahanan. 

Dokumen yang menjelaskan keputusan hakim sebelum ini menyebut “kemungkinan mereka mengelak daripada penyiasatan tidak boleh diabaikan,” dan mereka juga berkemungkinan “meninggalkan Romania dan menetap di negara yang tidak membenarkan ekstradisi”.

DIICOT juga mengenal pasti enam mangsa dalam kes pemerdagangan itu yang menghadapi ‘tindakan keganasan fizikal dan paksaan mental’ dan dieksploitasi secara seksual oleh anggota kumpulan jenayah yang didakwa.

Agensi itu berkata, mangsa dipikat dengan cinta palsu, kemudiannya diugut, disimpan di bawah pengawasan dan tertakluk kepada taktik kawalan lain sambil dipaksa melakukan perbuatan lucah yang bertujuan untuk menghasilkan wang bagi penganiaya mereka yang didakwa.

Pendakwa raya yang menyiasat kes itu merampas 15 kereta mewah, sekurang-kurangnya tujuh daripadanya dimiliki oleh adik-beradik Andrew dan lebih daripada 10 hartanah atau tanah milik syarikat yang berdaftar dengan mereka.

Andrew dan tiga defendan lain tiba di Mahkamah Bucharest dalam keadaan bergari pada pagi Selasa dan dibawa pergi pada sebelah petang, beberapa jam sebelum mahkamah memutuskan demikian.

Mereka menafikan salah laku melalui peguam mereka dan mencabar perintah penahanan 30 hari.

Andrew merupakan bekas peninju kickboxer profesional yang dilaporkan menetap di Romania sejak 2017.

Dia sebelum ini disekat daripada pelbagai platform media sosial kerana lantang menyatakan pandangan misoginis dan ucapan kebencian. 

Pada minggu penahanannya, dia saling berbalas ciapan hinaan di Twitter dengan seorang aktivis iklim remaja, Greta Thunberg.

Sumber: Aljazeera

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *