Terkini
Tidak adil jika iktiraf UEC, perpaduan perlu diutamakan
Pengiktirafan Sijil Unified Examination Certificate (UEC), jika dilakukan, dilihat sebagai tidak adil kepada bangsa Cina dan India yang mengikuti aliran kebangsaan.

KUALA LUMPUR – Pengiktirafan Sijil Unified Examination Certificate (UEC), jika dilakukan, dilihat sebagai tidak adil kepada bangsa Cina dan India yang mengikuti aliran kebangsaan.
Ia juga petanda Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak betul dan bertindak secara tidak wajar memandangkan kerajaan baharu ini bukan hanya mewakili DAP selain perlu mengutamakan soal perpaduan rakyat.
Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raof Hussin berkata kerajaan patut berpegang kepada perlembagaan dan Akta Pendidikan 1996 yang diluluskan parlimen.
“Kalau dia (Nga Kor Ming) mengugut hendak keluar (Pakatan Harapan), tidak perlu dilayan.
“Sama seperti kerajaan dahulu, Datuk Seri Najib Abdul Razak berjanji mahu mengiktiraf UEC kalau BN menang. Allah kalahkan dia.
“Bagi saya kalau ugutan dia (Kor Ming) ini Perdana Menteri luluskan, maka ia amat tidak betul,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan yang baru dibentuk pada 24 November lalu selepas Yang di-Pertuan Agong memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu, bukanlah kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Bukan juga kerajaan untuk orang Cina, tetapi kerajaan ini untuk rakyat Malaysia.
“Seperti mana yang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebut, dia menjadi PM untuk semua bangsa, bumiputera, Melayu, Cina, India dan sebagainya,” tegasnya.
Ahli Parlimen Tambun itu seharusnya memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan kesejahteraan semua kaum terpelihara.
Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Perundangan Melayu (MPM), Tan Sri Profesor Emeritus Dr Ibrahim Abu Shah berkata UEC tidak sepatutnya diluluskan.
“Sememangnya 100 peratus tidak adil kepada bangsa India dan Cina yang mengikuti aliran kebangsaan.
“Sebab penyokong Dong Zong ini tidak menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia dan ini tidak adil kepada diri mereka sendiri serta kepada kita,” katanya.
Katanya, pertubuhan berkenaan juga tidak menghormati Akta Pendidikan 1996 dengan sewenang-wenangnya membentuk aliran sendiri berlandaskan kepada keagungan budaya nenek moyang mereka.
“Tiba-tiba hendak masuk ke aliran institusi pengajian tinggi awam dan bekerja di perkhidmatan awam,” katanya.
Selama berpuluh-puluh tahun, ujarnya, kelompok ini berasa megah, bahkan menghina dasar pendidikan negara.
“Tiba-tiba mahu kona baring masuk ke institusi pengajian tinggi awam dan masuk ke pejabat kerajaan.
“Mereka ini menzalimi anak-anak Cina yang menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia yang tulen.
“Yang mempunyai jati diri Malaysia dengan mengambil peluang dan kacau hak anak Cina yang tulen itu,” katanya.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memohon kebijaksanaan Perdana Menteri ke-10 untuk merungkai isu berbangkit itu.
“Ini kerana Anwar mendapat hampir 100 peratus sokongan daripada kaum Cina.
“Maknanya perhubungan PM sekarang cukup rapat, jadi kemungkinan besar mempunyai peluang yang baik untuk memujuk kaum-kaum Cina.
“Bukan sahaja mengenai masalah UEC, sekolah vernakular dan juga isu penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Bahasa Melayu diperuntukkan sebagai bahasa pengantar rasmi.
“Boleh belajar Bahasa Cina dan digunakan di rumah, tetapi dilarang daripada digunakan sebagai medium arahan di sekolah mahupun universiti.
“Ini sama sekali bercanggah dengan dasar bahasa kebangsaan dan perlembagaan,” katanya.
Ketika di lapangan terbang Indonesia, kongsinya, kaum Cina di sana petah berbahasa Indonesia.
“Saya dapati anak-anak Cina begitu bangga bersembang dalam bahasa Indonesia.
“Saya ingat mereka orang Indonesia, rupanya Cina kerana tiada satu pun perkataan Cina.
“Maksudnya, mengapa di Malaysia ini orang Cina tidak menghormati Bahasa Malaysia, bahkan menghina dan mengugut kita,” katanya.
Ibrahim merasakan Anwar mempunyai keupayaan dan perhubungan yang cukup baik dengan kaum tersebut.
“Mereka juga melantik beliau secara sepenuhnya dengan penerimaan penuh.
“Saya meminta mereka ini jangan mempunyai mentaliti pendatang, cukuplah, sebab kita rakyat Malaysia.
“Saya berharap anak cucu kita akan dapat sama-sama bergaul sebab selagi benda ini tidak diselesaikan, maka negara kita akan menghadapi masalah yang cukup besar. Percaya cakap saya,” katanya. – The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login