Terkini
PrEP percuma, ‘dos penggalak’ buat homoseks terus berfantasi – pesakit HIV
Pemberian ubat rawatan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) secara percuma kepada golongan songsang disifatkan umpama ‘dos penggalak’ buat komuniti itu terus hanyut dalam dunia ‘fantasi’.
- Polemik timbul apabila terdapat cadangan berikan PrEP percuma kepada golongan yang secara sukarela melibatkan diri dengan aktiviti sangat berisiko.
- “Langkah ini selain daripada mensia-siakan taxpayers money (sekiranya benar), ia seolah-olah satu “dos penggalak” untuk mereka terus hanyut dalam dunia fantasi.
- “Ia berpotensi buka floodgate kepada penyakit-berjangkit lain serta kelestarian gaya hidup tidak sihat.
- “Melihat kepada gaya hidup majoriti golongan gay, sepatutnya tiada masalah mereka berstatus HIV-negative biayai sendiri pembelian PrEP untuk melindungi diri daripada dijangkiti virus HIV.” – pesakit HIV, Abdullah (nama samaran).
KUALA LUMPUR – Pemberian ubat rawatan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) secara percuma kepada golongan songsang disifatkan umpama ‘dos penggalak’ buat komuniti itu terus hanyut dalam dunia ‘fantasi’.
Pesakit HIV atau People Living With HIV (PLHIV) yang hanya ingin dikenali sebagai Abdullah, tidak menafikan penggunaan PrEP merupakan salah satu langkah pencegahan HIV yang sangat efektif.
Bagaimanapun, katanya, polemik timbul apabila terdapat cadangan untuk memberikan PrEP percuma kepada golongan yang secara sukarela melibatkan diri dengan aktiviti sangat berisiko.
“Langkah ini selain daripada mensia-siakan taxpayers money (sekiranya benar), ia seolah-olah satu “dos penggalak” untuk mereka terus hanyut dalam dunia fantasi.
“Ia berpotensi membuka floodgate kepada penyakit-berjangkit lain serta kelestarian gaya hidup tidak sihat. Melainkan jika ada funders tertentu tidak membabitkan taxpayers money yang sudi untuk menaja pemberian PrEP percuma, by all means please go ahead.
“Melihat kepada gaya hidup majoriti golongan gay, sepatutnya tiada masalah mereka yang masih berstatus HIV-negative membiayai sendiri pembelian PrEP untuk melindungi diri mereka daripada dijangkiti virus HIV.
“Harganya dalam lingkungan 100 sahaja sebotol untuk penggunaan selama 30 hari. So my argument is kalau you boleh berfesyen from head to toe, melancong serata dunia, berkereta menjalar berkilat, rumah berhias cantik, tiada alasan untuk mereka membelinya sendiri,” katanya kepada The Merdeka Times pada Jumaat lalu.
View this post on Instagram
Beliau yang sudah lebih sembilan tahun berjuang melawan HIV berkata, situasi itu dilihat seolah-olah menutup kelompongan pada satu sisi sahaja, sementara sebelah lagi terlopong dan terdedah.
Katanya, ini kerana golongan tersebut juga perlu mengambil kira penyakit Jangkitan Kelamin (STI) seperti Sifilis, Gonorea serta penyakit yang lebih berbahaya daripada HIV itu sendiri iaitu Hepatitis C, B, dan Tibi.
“Ubat Prep itu sama sahaja jenisnya dengan ubat Highly active antiretroviral therapy (HAART) yang dibekalkan kepada PLHIV di mana pernah berlaku kepada saya sendiri, bekalan ubat terpaksa dicatu pihak farmasi hospital akibat kekurangan stok bekalan.
“So, kalau hospital atau klinik kerajaan nak bagi PrEP percuma kepada golongan bukan PLHIV apakah guarantee yang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh beri kepada PLHIV seperti kami agar tidak berlaku lagi shortage of supply.
“Tambahan pula, PrEP kini aktif dipromosikan sebagai langkah pencegahan daripada mendapat jangkitan HIV. Namun, mentaliti dan persepsi kumpulan sasaran ini, melihatnya mereka boleh terus melakukan hubungan seks bebas tanpa sebarang perlindungan atau perlu bimbang dijangkiti HIV.
“Mungkin pihak-pihak yang berkenaan boleh fikirkan faktor ini dan seterusnya address it properly,” katanya.
Abdullah juga mengatakan beliau tidak pasti jika wujud sebarang bentuk kempen jauhi seks songsang di negara ini yang dijalankan oleh mana-mana badan bertanggungjawab.
Tegasnya, kita memerlukan kempen sebegitu yang bersifat agresif.
Beliau yang mendapatkan rawatan antiretroviral (ARV) sejak 2014 telah dijangkiti HIV akibat seks bebas dan penyalahgunaan dadah untuk mencapai kepuasan seksual.
“Realiti hari ini di dalam komuniti gay ialah, berleluasanya penggunaan recreational drugs – syabu, ecstasy, ketamin, ganja, liquid ecstasy ataupun G water dan banyak lagi di mana ia tidak lagi digunakan di kelab malam tetapi diguna dalam bilik tidur atau mana-mana ruang.
“Kebanyakannya ataupun selalunya all these substances are used to prolong the hours of sex, intensity and maximize sexual pleasure.
“Dadah ini pula tidak lagi sekadar diambil secara oral tetapi trend popular pada masa kini ialah termasuk melalui jarum suntikan. Masalah timbul apabila berada di bawah pengaruh dadah, soal keselamatan, perlindungan diri dan sebagainya tidak lagi diambil kira.
“Matlamat utama pada ketika itu adalah hanya untuk mencapai kepuasan seksual. Maka, pada hari ini, kita boleh lihat trend hubungan seks sesama lelaki tanpa menggunakan sebarang perlindungan iaitu kondom adalah sangat meluas dan in-demand,” katanya.
Katanya, statistik KKM untuk beberapa tahun ini jelas menunjukkan kadar jangkitan HIV tertinggi adalah kategori homoseksual.
Kementerian Kesihatan dilaporkan akan melakukan projek rintis berkenaan penggunaan ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.
Ubat PrEP secara percuma itu akan diberikan kepada golongan berisiko dijangkiti HIV, termasuk komuniti LGBT, di mana ia menimbulkan perdebatan di antara pengamal perubatan terutama doktor Muslim. – The Merdeka Times