Antarabangsa
PBB kecam tindakan kerajaan sementara Afghanistan larang pelajar wanita ke universiti
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengecam tindakan terkini kerajaan sementara Afghanistan diterajui Taliban yang melarang pendidikan peringkat universiti bagi pelajar wanita di negara itu.

- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengecam tindakan terkini kerajaan sementara Afghanistan diterajui Taliban yang melarang pendidikan peringkat universiti bagi pelajar wanita di negara itu.
- Kementerian Pengajian Tinggi Afghanistan sebelum ini dilapor mengumumkan larangan pendidikan wanita berkuat kuasa serta-merta dan sehingga diberitahu kelak, sekali gus mengecualikan wanita daripada kehidupan awam.
- “Sukar bayangkan bagaimana sebuah negara boleh membangun, boleh tangani semua cabaran dihadapinya tanpa penyertaan wanita secara aktif dan pendidikan wanita,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.
- Setakat ini, belum ada mana-mana media melapor mengenai penjelasan kerajaan semasa mengenai larangan wanita menyambung pengajian ke peringkat universiti di Afghanistan itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengecam tindakan terkini kerajaan sementara Afghanistan diterajui Taliban yang melarang pendidikan peringkat universiti bagi pelajar wanita di negara itu.
Kementerian Pengajian Tinggi Afghanistan sebelum ini mengumumkan larangan pendidikan wanita berkuat kuasa serta-merta dan sehingga diberitahu kelak, sekali gus mengecualikan wanita daripada kehidupan awam.
”Ia jelas satu lagi janji yang dimungkiri Taliban.
”Ia satu lagi langkah yang sangat mengganggu,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric kepada wartawan dipetik agensi berita Anadolu.
Wanita dan gadis dilaporkan dilucutkan hak mereka, termasuk hak untuk akses pendidikan, hilang daripada masyarakat umum sejak Taliban kembali berkuasa pada 15 Ogos 2021 susulan kejatuhan kerajaan terdahulu disokong kuasa barat dan pengunduran Amerika Syarikat dari Afghanistan.
Taliban dilaporkan gagal memenuhi janji mereka kepada masyarakat antarabangsa.
“Sukar untuk membayangkan bagaimana sebuah negara boleh membangun, boleh menangani semua cabaran dihadapinya tanpa penyertaan wanita secara aktif dan pendidikan wanita,” kata Dujarric.
Beribu-ribu wanita kehilangan pekerjaan atau terpaksa meletakkan jawatan daripada institusi kerajaan dan sektor swasta.
Kanak-kanak perempuan juga turut dilaporkan dihalang daripada menghadiri pendidikan sekolah menengah.
Ekoran itu ramai wanita menuntut hak mereka dikembalikan dengan turun ke jalanan bagi membantah keputusan kerajaan semasa.
Setakat ini, belum ada mana-mana media melapor mengenai penjelasan kerajaan semasa mengenai larangan wanita menyambung pengajian ke peringkat universiti di Afghanistan itu.
Sumber : Anadolu Agency
