Terkini
Lantik menteri pendidikan dari kalangan pendidik selepas PRU16 – Maszlee Malik
Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menggesa orang politik tidak dilantik sebagai menteri pengajian tinggi dan pendidikan selepas PRU16.
- Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik gesa orang politik tidak dilantik sebagai menteri pengajian tinggi dan pendidikan selepas PRU16.
- Jawatan itu seharusnya dilantik dari kalangan pendidik kerana mereka lebih mengetahui “isi hati” dan hala tuju kementerian berkenaan.
- “Lantik orang pendidik sebab mereka lebih mengetahui. Bukan lantik orang yang kejar jawatan politik semata-mata,” kata bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik.
BANGI: Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menggesa orang politik tidak dilantik sebagai menteri pengajian tinggi dan pendidikan selepas PRU16.
Katanya, jawatan itu seharusnya dilantik dalam kalangan pendidik kerana mereka lebih mengetahui “isi hati” dan hala tuju kementerian berkenaan.
“Jika boleh, menteri pengajian tinggi dan menteri pendidikan kena orang pendidik. Elok bukan orang politik (dilantik menteri pengajian tinggi dan pendidikan) seperti di Indonesia.
“Lantik orang pendidik sebab mereka lebih mengetahui. Bukan lantik orang yang kejar jawatan politik semata-mata,” katanya ketika berucap dalam seminar dasar awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ketika ini Menteri Pengajian Tinggi adalah Mohamed Khaled Nordin yang juga naib presiden Umno, manakala Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek adalah ketua Wanita PKR.
Maszlee dilantik sebagai menteri pendidikan ketika pentadbiran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dari Mei 2018 hingga Januari 2020.
Dalam pada itu, beliau berkata ruang akademik tidak boleh “dicabul” orang politik dan sepatutnya diteraju mereka yang arif dalam bidang pendidikan.
Katanya, tindakan menghukum ahli akademik yang mengkritik kerajaan sepatutnya berakhir dan berharap kerajaan perpaduan memastikan “era punitif” sebegitu dihapuskan.
Maszlee turut mengingatkan ahli akademik menulis dengan berfakta dan jika ada yang menjadi “lidah” parti politik, ia sedikit-sebanyak menjatuhkan standard mereka.
“Universiti adalah untuk masyarakat. Universiti menjadi penyelesai kepada kemelut, masalah dihadapi negara dan berikan solusi. Itu peranan universiti.
“Bagi intelektual, mereka merupakan pencerah kepada masyarakat dan menjadi penyuluh kepada hala tuju. Maka mereka tidak boleh dikongkong oleh penguasa,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu juga berharap kerajaan memberi autonomi kepada institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai penyumbang idea kepada negara dan penyelesai masalah sebenar masyarakat.
“Walaupun di tampuk pemerintahan sekarang ada orang reformasi tapi kena ingat, kerana ini kerajaan perpaduan, kerajaan campuran atau apa saja namanya, kita tidak boleh harapkan keseluruhan agenda reformasi itu akan berlaku,” katanya.
Sumber: Free Malaysia Today