Terkini
Fahmi pura-pura pertahan kebebasan bersuara ketika jadi pembangkang
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dilihat bersungguh-sungguh mempertahankan kebebasan bersuara di media sosial ketika menjadi pembangkang.
- Ketika menjadi pembangkang, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dilihat bersungguh-sungguh mempertahankan kebebasan bersuara di media sosial.
- Namun Menteri Komunikasi dan Digital itu seolah-olah “cakap tidak serupa bikin” setelah PH diberikan mandat membentuk kerajaan campuran bersama BN.
- Exco Armada Nasional, Harris Idaham Rashid merujuk kepada kenyataan Fahmi semalam yang memberi amaran bahawa kebebasan bersuara ada hadnya.
- “Ini adalah jelas sebagai tindak balas terdesak terhadap kekalahan teruk BN-PH dalam pilihan raya kecil Padang Serai pada 7 Disember 2022,” kata Harris.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dilihat bersungguh-sungguh mempertahankan kebebasan bersuara di media sosial ketika menjadi pembangkang.
Namun Menteri Komunikasi dan Digital itu seolah-olah “cakap tidak serupa bikin” setelah Pakatan Harapan (PH) diberikan mandat membentuk kerajaan campuran bersama Barisan Nasional (BN).
Exco Armada Bersatu Nasional, Harris Idaham Rashid merujuk kepada kenyataan Fahmi semalam yang memberi amaran bahawa kebebasan bersuara ada hadnya.
Menteri baharu itu dilaporkan berkata fitnah dan tuduhan tidak berasas tidak boleh dibiarkan, di mana tindakan akan diambil jika terdapat “pelanggaran undang-undang”.
“Ini adalah ancaman serius terhadap kebebasan bersuara dan ia membolehkan pihak berkuasa untuk menentukan apa yang fitnah atau tidak serta untuk membawa tuduhan jenayah terhadap pengkritik kerajaan dan lawan politik mereka,” katanya dalam kenyataan bertajuk “Rakyat mesti bersedia untuk tindakan keras besar-besaran terhadap kebebasan bersuara oleh rejim BN-PH” di sini hari ini.
Katanya, Fahmi pernah membuat hantaran menekankan kebebasan media adalah “tiang seri demokrasi” yang tidak seharusnya dikongkong agar minda rakyat tidak terkurung.
“Ketidakkonsistenan yang membuak-buak itu mencerminkan kepura-puraan seseorang yang menjunjung dan mempertahankan kebebasan bersuara ketika menjadi pembangkang, tetapi beralih kepada mengancam dan membungkam rakyat apabila dia telah mengambil alih kuasa,” katanya.
Harris berkata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berjanji untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA 1998) dalam manifesto pilihan raya sebelum ini.
“Daripada merancang untuk meminda akta tersebut, Fahmi mengancam untuk menggunakannya sebagai senjata terhadap rakyat.
“Ancaman dan ugutan Fahmi bermakna negara kita mesti bersedia untuk tindakan keras besar-besaran terhadap kebebasan bersuara oleh pentadbiran BN-PH ini.
“Sebab utama untuk tembakan kejutan pertama ini adalah jelas sebagai tindak balas terdesak terhadap kekalahan teruk PH-BN dalam pilihan raya kecil Padang Serai pada 7 Disember 2022,” katanya.
Jelasnya, keputusan PRU15 lalu menunjukkan PH-BN ditinggalkan oleh orang Melayu secara beramai-ramai.
“Terdapat juga faktor perubahan (swing) dalam kalangan pengundi Cina dan India yang makin meluat dengan kepura-puraan PH dalam menerima BN secara bulat dan melantik Presiden Umno yang dicemari dakwaan rasuah Zahid Hamidi sebagai TPM I,” kata Harris. –The Merdeka Times