Terkini
PM salah guna kuasa jika arah polis siasat pengkritiknya – Lawyers for Liberty
Kumpulan perundangan Lawyers for Liberty meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggunakan saluran undang-undang sivil untuk menangani mana-mana pihak yang mengkritiknya sekali gus terus berpegang kepada agenda reformasi Pakatan Harapan (PH).
- Jawatan Perdana Menteri tidak punyai kedudukan istimewa di sisi undang-undang dan reputasinya tidak boleh dipertahankan pihak polis.
- Adalah tindakan salah guna kuasa bagi Perdana Menteri untuk mengarahkan pihak polis menyiasat mana-mana pihak yang membuat sebarang tuduhan terhadapnya berikutan beliau adalah pihak berkepentingan.
- Seandainya Anwar terkilan dengan komen buruk terhadapnya, beliau perlu failkan satu tindakan saman fitnah di mahkamah sivil, sama seperti rakyat lain.
- “Campur tangan polis hanya sesuai apabila pesalah membuat kenyataan yang boleh mengakibatkan mudarat, keganasan atau kecederaan terhadap orang awam. Dalam sebuah demokrasi yang berfungsi, tindakan polis tidak boleh diambil terhadap ahli politik atau pengkritik yang mengeluarkan kenyataan yang tidak menyenangkan, menghina atau palsu terhadap sesiapa saja, termasuk Perdana Menteri.
- Kenyataan itu dikeluarkan Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek.
PUTRAJAYA: Kumpulan perundangan Lawyers for Liberty meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggunakan saluran undang-undang sivil untuk menangani mana-mana pihak yang mengkritiknya sekali gus terus berpegang kepada agenda reformasi Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek, berkata ia berikutan jawatan Perdana Menteri tidak mempunyai kedudukan istimewa di sisi undang-undang dan reputasinya tidak boleh dipertahankan oleh pihak polis.
Beliau berkata, ia adalah tindakan salah guna kuasa bagi Perdana Menteri untuk mengarahkan pihak polis menyiasat mana-mana pihak yang membuat sebarang tuduhan terhadapnya berikutan beliau adalah pihak berkepentingan.
“Kami merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil pada 28 November lalu yang menyatakan bahawa Anwar sudah mengarahkan pihak polis untuk memulakan siasatan terhadap individu yang membuat dakwaan bersifat fitnah atau keterlaluan terhadap Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan media.
Zaid berkata, perbuatan kerajaan baharu yang terus mengarahkan pihak polis mengambil tindakan terhadap mereka yang mengkritik Perdana Menteri tidak boleh diterima, terutama selepas ia sebelum ini menjanjikan perubahan.
Beliau berkata, seandainya Anwar terkilan dengan komen buruk terhadapnya, beliau perlu memfailkan satu tindakan saman fitnah di mahkamah sivil, sama seperti rakyat lain.
Tugas dan tanggungjawab pihak polis adalah untuk menghalang berlakunya jenayah, bukan untuk melindungi Perdana Menteri daripada sebarang penghinaan atau kritikan.
“Anwar dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain tidak perlu diingatkan dengan tindakan salah dan bahaya menggunakan kuasa polis untuk mempertahankan Perdana Menteri daripada hinaan atau kritikan.
“PH pernah menjadi mangsa tindakan polis sebegini ketika Najib Razak (Datuk Seri Najib Razak) menjadi Perdana Menteri, terutama membabitkan isu 1MBD.
“Malah, PH sentiasa berpendirian bahawa Perdana Menteri tidak boleh menggunakan pihak polis untuk menutup mulut pengkritik,” katanya.
Beliau berkata, selepas kenyataan Fahmi bahawa Anwar mengarahkan pihak polis mengambil tindakan, Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad, ditahan pihak polis untuk siasatan kerana didakwa mengatakan Anwar adalah ejen Israel.
Wakil rakyat berkenaan disiasat termasuk mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, sedangkan ia bertentangan dengan janji PH dalam manifestonya untuk memansuhkan peruntukan berkenaan.
Malah, katanya, siasatan pihak polis itu yang dikatakan dengan arahan Anwar adalah tidak sesuai dan mampu membawa mudarat.
Selain itu, Zaid berkata, Anwar seharusnya meneruskan tindakan undang-undang sivil yang sudah dimulakannya terhadap Hassan, dan bukan menggunakan kuasa polis untuk menyiasat.
“Campur tangan polis hanya sesuai apabila pesalah membuat kenyataan yang boleh mengakibatkan mudarat, keganasan atau kecederaan terhadap orang awam. Dalam sebuah demokrasi yang berfungsi, tindakan polis tidak boleh diambil terhadap ahli politik atau pengkritik yang mengeluarkan kenyataan yang tidak menyenangkan, menghina atau palsu terhadap sesiapa saja, termasuk Perdana Menteri.
“Jika pihak polis memulakan siasatan jenayah terhadap setiap tuduhan atau penghinaan terhadap Perdana Menteri, ia akan menjurus kepada autoritarianisme.
“Berikutan itu, kami menggesa kerajaan baharu dan Perdana Menteri mengotakan janji mereka untuk membawa perubahan seperti dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menghentikan semua siasatan terhadap pengkritik Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan baharu ini harus mengelakkan semua perangkap dan perbuatan berlebih-lebihan dilakukan kerajaan terdahulu jika mereka benar-benar mahu memperkasakan kebebasan bersuara dan budaya demokrasi yang mantap.
Sumber: Berita Harian