Antarabangsa
Piala Dunia 2022: Presiden FIFA pertahan Qatar, dakwa kritikan negara Barat sebagai ‘hipokrit’
Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mendakwa negara-negara Barat sebagai ‘hipokrit’ dan tidak layak memberikan ‘pelajaran moral’ kepada negara lain beberapa jam sebelum sepak mula Piala Dunia 2022 di Qatar hari ini, demikian lapor Aljazeera.
- Presiden FIFA, Gianni Infantino pertahankan Qatar yang dikritik negara-negara Barat dan mendakwa negara-negara itu sebagai ‘hipokrit’.
- Dia mengeluarkan kenyataan itu dalam satu sidang media semalam di Qatar menjelang kejohanan Piala Dunia 2022.
- Dia memberi jaminan semua golongan, termasuk LGBT, adalah dialu-alukan di Qatar meskipun negara itu mengharamkan aktiviti homoseksual.
- Keputusan mengharamkan minuman keras di stadium juga adalah keputusan bersama diantara FIFA dan Qatar, katanya.
Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mendakwa negara-negara Barat sebagai ‘hipokrit’ dan tidak layak memberikan ‘pelajaran moral’ kepada negara lain beberapa jam sebelum sepak mula Piala Dunia 2022 di Qatar hari ini, demikian lapor Aljazeera.
Dalam sidang media di ibu negara Qatar menjelang kejohanan itu, Infantino berkata Eropah perlu menangani jenayah lampaunya sebelum menuding jari kepada Qatar.
“Saya orang Eropah. Untuk apa yang kita orang Eropah lakukan di seluruh dunia dalam tempoh 3,000 tahun yang lalu, kita harus memohon maaf untuk 3,000 tahun akan datang sebelum mula memberi pengajaran moral kepada orang ramai,” kata Infantino kepada media pada semalam.
Qatar, yang dipilih pada 2010 untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu, dikritik atas layanannya terhadap pekerja asing dan rekod hak asasi manusia.
Infantino yang merupakan anak kepada pekerja asing dari Itali, mempertahankan Qatar dengan mendakwa banyak penambahbaikan yang ketara dalam isu hak pekerja asing di negara Timur Tengah itu.
“Saya datang ke sini enam tahun lalu dan menangani masalah pekerja asing terus, dalam pertemuan pertama saya,
“Berapa banyak syarikat perniagaan Eropah atau Barat ini, yang memperoleh berjuta-juta dari Qatar dan negara lain di rantau ini – berbilion-bilion setiap tahun – berapa ramai daripada mereka yang menangani hak pekerja asing dengan pihak berkuasa?
“Saya ada jawapannya. Tiada seorang pun daripada mereka,” kata ketua FIFA itu sambil menambah “pelajaran moral yang berat sebelah itu hanyalah hipokrit”.
Mengulas mengenai pengharaman aktiviti homoseksual di negara itu, dia mengesahkan tiada siapa pun tidak dialu-alukan di negara itu, termasuk golongan LGBT.
“Saya telah berbincang hal ini dengan kepimpinan tertinggi negara. Beberapa kali, bukan hanya sekali. Mereka telah mengesahkan dan saya sendiri boleh mengesahkan bahawa semua orang dialu-alukan,” kata presiden FIFA itu.
Ketua media FIFA, Bryan Swanson, yang juga seorang gay, menegaskan semua orang dialu-alukan di Qatar pada akhir sidang media itu.
“Saya duduk di sini dalam kedudukan istimewa di pentas global sebagai lelaki gay di Qatar. Kami menerima jaminan bahawa semua orang dialu-alukan dan saya percaya semua orang akan dialu-alukan di Piala Dunia ini,” katanya.
Dalam pada itu, Infantino turut mengulas kritikan mengenai pengharaman minuman keras di stadium, mendakwa perkara itu biasa berlaku di mana-mana kejohanan bola sepak termasuk negara-negara Eropah seperti Perancis, Sepanyol, Portugal dan Scotland.
“Setiap keputusan diambil dalam Piala Dunia ini, ia adalah keputusan bersama antara Qatar dan FIFA. Setiap keputusan dibincangkan, dibahaskan dan dipersetujui bersama. Saya tidak pasti berapa banyak, tetapi akan ada lapan atau 10 zon peminat, lebih 200 tempat di mana anda boleh membeli alkohol,” kata Infantino.
Sumber: Aljazeera