Terkini
Anwar beri jaminan pelihara hak Melayu, kedudukan Islam
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi jaminan akan melindungi hak orang Melayu dan kedudukan Islam.
- Gabungan parti dan kerajaan perpaduan akan mendukung hak orang Melayu dan kedudukan Islam yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia, khasnya di Sarawak dan Sabah, tidak akan dipinggirkan di bawah pentadbirannya.
- Juga tegas dalam usaha mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Pakatan Harapan (PH) serta kerajaan perpaduan akan tetap menjunjung semangat Perlembagaan.
KAJANG: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi jaminan akan melindungi hak orang Melayu dan kedudukan Islam.
Bercakap dalam sidang media pertamanya selepas dilantik menerajui negara, katanya, gabungan itu dan kerajaan perpaduannya akan mendukung hak orang Melayu dan kedudukan Islam yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Kita bersyukur pada Allah kerana menyaksikan perubahan yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia.
“Seperti dijelaskan, perubahan itu bukan sosok atau barisan kepimpinan baharu, tetapi untuk beri harapan baharu kepada rakyat. Henti rasuah dan membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan agama.”
Anwar berkata, rakyat Malaysia, khasnya di Sarawak dan Sabah, tidak akan dipinggirkan di bawah pentadbirannya.
“Saya mahu menekankan saya ialah perdana menteri kepada rakyat Malaysia berbilang kaum supaya kita boleh menyatupadukan negara.”
Katanya, beliau masih tegas dalam usaha mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Pakatan Harapan (PH) serta kerajaan perpaduan akan tetap menjunjung semangat Perlembagaan.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, beliau juga tidak akan bertolak ansur dalam menjamin hak semua rakyat Malaysia dan mengiktiraf semua agama.
Sumber: Free Malaysia Today