Terkini
Terdapat kecuaian Tun Mahathir dalam kes kedaulatan Batu Puteh, Malaysia teruskan tindakan perundangan di ICJ
Jemaah Menteri bersetuju Malaysia meneruskan tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

- Malaysia teruskan tindakan perundangan di ICJ berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
- Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai setelah mendengar laporan pembentangan dan cadangan Pasukan Petugas Khas.
- Terdapat kemungkinan kecuaian dan kekhilafan Tun Dr Mahathir apabila Malaysia terlepas peluang memfailkan permohonan semakan keputusan penghakiman ICJ.
KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri bersetuju Malaysia meneruskan tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai setelah mendengar laporan pembentangan dan cadangan daripada Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 7 Oktober lepas.
“Mesyuarat dimaklumkan mengenai terdapat kemungkinan kecuaian dan kekhilafan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman ICJ pada 2008.
“… dan permintaan tafsiran Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selepas Tun Dr Mahathir membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pasukan khas berkenaan turut mencadangkan supaya kerajaan mengambil tindakan sewajarnya bagi mempertahan kedaulatan negara.
Sumber: Sinar Harian

You must be logged in to post a comment Login