Terkini
Perokok golongan B40 paling ramai hidap penyakit kanser, jantung dan paru-paru
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan majoriti pesakit kritikal seperti kanser, sakit jantung dan penyakit berkaitan paru-paru dialami golongan B40.

- Majoriti pesakit kritikal seperti kanser, sakit jantung dan penyakit berkaitan paru-paru dialami golongan B40.
- Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia merupakan kesan daripada penggunaan tembakau.
- Ini kerana golongan B40 merupakan kumpulan sasar bagi penjualan produk tembakau oleh syarikat-syarikat tersebut.
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan majoriti pesakit kritikal seperti kanser, sakit jantung dan penyakit berkaitan paru-paru dialami golongan B40.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia merupakan kesan daripada penggunaan tembakau.
“Ini kerana golongan B40 merupakan kumpulan sasar bagi penjualan produk tembakau oleh syarikat-syarikat tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Portal KKMNOW di sini pada Rabu.
Sehubungan itu, Khairy dalam nada tegas berkata, adalah tidak masuk akal sekiranya mahu melindungi golongan ini daripada kumpulan pembunuh hanya kerana kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
“Kamu tahu kenapa? Sebab merekalah menjadi sasaran kumpulan syarikat-syarikat tembakau ini.
“Jadi tak masuk akal (mereka terjejas), sebenarnya kita nak melindungi mereka daripada kumpulan-kumpulan pembunuh ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai tindakan pihak yang menghantar memorandum sebagai membantah RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen, di sini Khairy memberitahu, beliau difahamkan pihak terbabit ditaja oleh syarikat-syarikat tembakau.
“Ada berita yang mengatakan mereka ditaja. Kita kena betul-betul bebaskan diri daripada sebarang konflik kepentingan,” ujarnya.
Pada 27 Julai lalu, Khairy membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
RUU berkenaan bertujuan mewujudkan Generasi Penamat (GEG) hanya akan membabitkan golongan individu lahir selepas 1 Januari 2007.

You must be logged in to post a comment Login