Antarabangsa
PBB tolak usul bahaskan isu etnik Uyghur, Malaysia undi berkecuali
Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi untuk tidak membahaskan isu penindasan terhadap etnik Uyghur dan minoriti lain majoritinya beragama Islam di wilayah barat laut China, Xinjiang, walaupun selepas pejabat hak asasi manusia PBB menyatakan penindasan dihadapi etnik terbabit adalah jenayah terhadap kemanusiaan.
- Majlis Hak Asasi Manusia PBB mengundi untuk tidak membahaskan isu penindasan etnik Uyghur di Xinjiang.
- Usul dimenangi 19 undi berbanding 17 menentang, dengan 11 negara berkecuali.
- Kebanyakan negara mengundi untuk membantah perbahasan itu adalah negara majoriti Islam seperti Indonesia, Somalia, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.
- Malaysia termasuk dalam 11 negara yang berkecuali.
- China anggap keputusan ini sebagai satu kemenangan bagi negara itu.
Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi untuk tidak membahaskan isu penindasan terhadap etnik Uyghur dan minoriti lain majoritinya beragama Islam di wilayah barat laut China, Xinjiang, walaupun selepas pejabat hak asasi manusia PBB menyatakan penindasan dihadapi etnik terbabit adalah jenayah terhadap kemanusiaan.
Usul perbahasan isu itu menerima 19 undi menentang berbanding 17 menyokong dengan 11 negara berkecuali dalam keputusan undian itu.
Kebanyakan negara mengundi untuk membantah perbahasan itu adalah negara majoriti Islam seperti Indonesia, Somalia, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar. Antara 11 negara berkecuali ialah India, Malaysia dan Ukraine.
“Ini adalah kemenangan bagi negara membangun serta kemenangan untuk kebenaran dan keadilan,” kata Jurucakap Hal Ehwal Luar China, Hua Chunying dalam ciapan Twitter dipetik agensi berita AlJazeera.
“Hak asasi manusia tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk berbohong dan campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain, atau untuk membendung, memaksa dan mengaibkan orang lain”.
PBB sebelum ini mendedahkan kewujudan rangkaian pusat tahanan di Xinjiang pada 2018, mendakwa sekurang-kurangnya satu juta Uyghur dan etnik minoriti lain ditahan di pusat itu.
China kemudiannya mengakui terdapat kem di wilayah itu tetapi berkata ia adalah pusat latihan kemahiran vokasional yang diperlukan untuk menangani “ekstremisme”.
Meskipun dengan pendedahan dokumen rasmi kerajaan, siasatan kumpulan hak asasi manusia dan ahli akademik serta keterangan daripada etnik Uyghur sendiri, China berkeras untuk menghalang sebarang siasatan lanjut mengenai situasi di Xinjiang.
Sumber: Al Jazeera