Antarabangsa
Majoriti rakyat AS tak setuju kanak-kanak bawah umur dibenar tukar jantina
Satu tinjauan terbaharu di Amerika Syarikat (AS) mendapati hampir 80 peratus rakyatnya percaya prosedur mengubah jantina tidak sepatutnya dibenarkan bagi kanak-kanak dan perlu menunggu mereka menjadi dewasa untuk melakukan prosedur itu.

- 80 peratus responden tinjauan di Amerika Syarikat (AS) tidak bersetuju kanak-kanak menjalani prosedur mengubah jantina kekal.
- Mereka percaya banyak perkara yang memerlukan seseorang untuk mencapai had umur tertentu untuk melakukan sesuatu perkara seperti memandu, mengundi dan minum alkohol.
- Sekurang-kurangnya 776 mastektomi dan 56 pembedahan alat kelamin dilakukan di AS ke atas remaja berumur 13 hingga 17 tahun di AS antara tahun 2019-2021, demikian menurut siasatan Reuters.
Satu tinjauan terbaharu di Amerika Syarikat (AS) mendapati hampir 80 peratus rakyatnya percaya prosedur mengubah jantina tidak sepatutnya dibenarkan bagi kanak-kanak dan perlu menunggu mereka menjadi dewasa untuk melakukan prosedur itu.
Tinjauan kebangsaan itu dilakukan Konvensyen Tindakan Negeri-Negeri dengan kerjasama The Trafalgar Group, membabitkan 1,000 responden dari kalangan pengundi pilihan raya 2022 pada Oktober, demikian lapor The Daily Wire.
Ditanya sama ada mereka “percaya kanak-kanak bawah umur perlu menunggu sehingga mereka dewasa untuk menggunakan ubat penyekat akil baligh dan menjalani prosedur perubahan jantina kekal,” 78.7 peratus responden bersetuju yang kanak-kanak harus “menunggu”.
“Orang muda perlu capai usia 16 tahun untuk memandu, 18 tahun untuk mengundi dan 21 untuk minum alkohol. Rakyat Amerika dapat faham dengan jelas perkara ini, apatah lagi membabitkan prosedur perubatan yang kekal sebegini,” kata Presiden Konvensyen Negeri-Negeri, Mark Meckler.
Walaupun ada rawatan yang bersifat tidak kekal seperti ubat penyekat akil baligh, namun penggunaannya untuk merawat disforia jantina (kecelaruan jantina) adalah penggunaan luar label yang belum diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA).
Maka, tiada kajian jangka panjang untuk menyokong penggunaannya dalam konteks itu.
Pakar bedah transgender, Dr Marci Bowers berkata, ubat penyekat akil baligh membantutkan perkembangan alat kelamin lelaki dan terbukti memberi kesan sampingan yang serius seperti penurunan ketumpatan tulang, kesan neurologi dan masalah psikiatri.
Siasatan Reuters terbaharu mendapati antara 2019-2021, sekurang-kurangnya 776 mastektomi dan 56 pembedahan alat kelamin dilakukan di AS ke atas remaja berumur 13 hingga 17 tahun yang dikenal pasti sebagai transgender.
Bagaimanapun jumlah itu mungkin kurang tepat kerana hanya diambil berdasarkan tuntutan insurans.
Persatuan kesihatan transgender terkemuka mengeluarkan garis panduan piawaian penjagaan baharu yang mengeluarkan had saranan umur kanak-kanak mendapatkan ubat penyekat akil baligh, hormon silang jantina dan pembedahan selain menyerahkan keputusan itu kepada budi bicara doktor.
Sumber: Daily Wire
