Connect with us

Terkini

‘Doktor’ Malaysia dipenjara Mahkamah Singapura minta video alat sulit wanita

Gara-gara meminta 35 mangsa wanita supaya menghantar gambar dan video alat sulit mereka, Ooi Chuen Wei, 37, dipenjara oleh Mahkamah Daerah Singapura selepas berpura-pura menjadi pakar sakit puan sebuah hospital swasta.

Wartawan TMT

Published

on

‘Doktor’ Malaysia dipenjara Mahkamah Singapura minta video alat sulit wanita
Foto: Sumber FMT.
  • Ooi Chuen Wei, 37, dipenjara oleh Mahkamah Daerah Singapura selepas berpura-pura menjadi pakar sakit puan sebuah hospital swasta.
  • Tertuduh mengaku bersalah atas enam dakwaan penyamaran, manakala 15 lagi dakwaan serupa diambil kira mahkamah bagi tujuan hukuman.
  • Mahkamah diberitahu, ‘doktor’ lelaki berkenaan mewujudkan akaun Facebook di atas nama “Dr Janice Lee Yan Hooi” dari “Gleneagles Medical Singapore” sejak penghujung 2016.
  • Tembelangnya pecah selepas seorang mangsa mendapati tiada “Dr Janice Lee Yan Hooi” di hospital berkenaan pada 2021.

PETALING JAYA: Gara-gara meminta 35 mangsa wanita supaya menghantar gambar dan video alat sulit mereka, Ooi Chuen Wei, 37, dipenjara oleh Mahkamah Daerah Singapura selepas berpura-pura menjadi pakar sakit puan sebuah hospital swasta.

Tertuduh mengaku bersalah atas enam dakwaan penyamaran, manakala 15 lagi dakwaan serupa diambil kira mahkamah bagi tujuan hukuman. Butiran lain mengenai pekerjaan atau kehidupan peribadi Ooi tidak diketahui.

Mahkamah diberitahu, pada penghujung 2016, ‘doktor’ lelaki berkenaan mewujudkan akaun Facebook di atas nama “Dr Janice Lee Yan Hooi” dari “Gleneagles Medical Singapore” dengan menggunakan foto rambang seorang wanita Malaysia sebagai gambar profilnya. 

Lapor The Straits Times Singapore, Ooi juga menambah “kenalan” wanita dan lelaki dalam Facebook itu supaya akaunnya kelihatan lebih sahih, selain turut mewujudkan akaun Instagram dan LinkedIn menggunakan nama sama. 

Selepas mengenal pasti mangsa wanita sebagai sasaran, Ooi memperkenalkan dirinya sebagai Dr Lee dan menawarkan untuk berkongsi pelan perubatan bagi kesihatan payudara dan seksual dengan rundingan secara bulanan, kononnya diluluskan oleh “Gleneagles Medical Centre”. 

Ooi kemudian menghantar wanita berkenaan garis panduan teliti mengenai cara mengurut payudara dan kemaluan mereka. 

Tidak cukup dengan itu, dia turut meminta mangsa menghantar video kepadanya, kononnya untuk membolehkannya mendiagnos sebarang masalah kesihatan, seterusnya mencadangkan pelan rawatan. 

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya R Arvindren memberitahu mahkamah, semua mangsa mempercayai tertuduh, malah Ooi turut mengelakkan diri daripada bercakap dengan mangsa supaya mereka tidak mengetahui dia sebenarnya lelaki. 

Katanya, 35 mangsa wanita berkenaan menghantar 919 gambar dan video antara 2018 hingga 2021. 

Tembelangnya pecah selepas seorang mangsa mengesyaki sesuatu tidak kena pada 2021 seterusnya membuat kajian sendiri dan mendapati tiada “Dr Janice Lee Yan Hooi” di hospital berkenaan. 

Kemudian, wanita terbabit terus membuat laporan polis dan Ooi ditahan pada 11 Nov 2021.

Sumber: Free Malaysia Today

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending