Terkini
DAP bakal bertanding di kawasan majoriti Melayu
Setiausaha Agung Democratic Action Party (DAP) Anthony Loke Siew Fook berkata bahawa parti itu akan bertanding di kawasan yang mempunyai majoriti pengundinya adalah melayu ketika Pilihan Raya Umum (PRU15) akan datang.

- DAP akan bertanding di kawasan yang mempunyai majoriti pegundinya adalah melayu ketika Pilihan Raya Umum (PRU15) akan datang.
- Jumlah pertambahan kerusi yang akan ditandingi DAP itu akan diumumkan selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
- Perkara itu akan dirundingkan serta ada pertambahan kerusi untuk DAP di Perak.
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Democratic Action Party (DAP) Anthony Loke Siew Fook berkata bahawa parti itu akan bertanding di kawasan yang mempunyai majoriti pengundinya adalah melayu ketika Pilihan Raya Umum (PRU15) akan datang.
Menurutnya, jumlah pertambahan kerusi yang akan ditandingi DAP itu akan diumumkan selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
“Perkara ini kita telah rundingkan, memang ada pertambahan kerusi untuk DAP di negeri ini cuma kerusi mana dan jumlahnya, itu kita biarkan dahulu untuk diumumkan secara bersama, kita tidak mahu membuat pengumuman secara persendirian.
“Saya tidak mahu membuat apa-apa pengumuman secara persendirian, kita menghormati proses perundingan kerusi, bahawa apa kerusi yang ditandingi itu akan diumumkan secara bersama oleh semua pimpinan PH, cukup sekadar saya katakan kita akan bertanding kerusi tambahan di Perak,” katanya lapor Utusan.
Beliau berkata DAP ada potensi untuk menang dengan menyasarkan lebih banyak bilangan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan ditandingi.
“Keseluruhannya di Perak ada 24 kerusi Parlimen, 24 kerusi ini ada potensi kita boleh menang. Penyandangnya yang terdiri daripada Ahli Parlimen PH ada 13 kerusi yang kita menang pada PRU 14, termasuk Parlimen Tambun,” katanya selepas merasmikan Konvensyen DAP Perak, Ahad lalu.
“Jadi kerusi-kerusi yang belum dimenangi oleh PH ini terbuka untuk dirundingkan terutama yang ditandingi oleh Bersatu sebelum ini.
“Untuk peringkat DUN Perak juga kita berhasrat ada pertambahan tetapi perkara itu masih dalam perundingan lagi,” katanya.
Untuk rekod, DAP berjaya membuka cawangan Melayu terbesar di Perak yang terdiri dari 313 orang ahli-ahli Melayu terutamanya kawasan DAP Parit yang merupakan kawasan hampir 100% penduduknya merupakan orang Melayu.
Sumber: Utusan
