Komuniti
Bajet 2023: RM55 bilion subsidi buat rakyat
Kerajaan memperuntukkan lebih RM55 bilion secara keseluruhan untuk subsidi, bantuan dan insentif di bawah Bajet 2023.

- Ia bagi meminimumkan kos sara hidup antaranya melalui kawalan harga barangan dan perkhidmatan.
- Kerajaan juga akan memperluas manfaat program ke 23 kawasan baharu, termasuk Kampung Passin di Mukah, Sarawak dan Kampung Tawayari di Lahad Datu, Sabah.
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan lebih RM55 bilion secara keseluruhan untuk subsidi, bantuan dan insentif di bawah Bajet 2023.
Jumlah dana yang besar itu adalah bagi meminimumkan kos sara hidup antaranya melalui kawalan harga barangan dan perkhidmatan.
Kerajaan komited untuk memastikan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gas LPG, petrol dan diesel sampai ke tangan penduduk luar bandar pada harga yang berpatutan.
Pada tahun hadapan, sejumlah RM200 juta disediakan bagi menampung kos pengangkutan dan pengedaran barang perlu.
Kerajaan juga akan memperluas manfaat program ke 23 kawasan baharu, termasuk Kampung Passin di Mukah, Sarawak dan Kampung Tawayari di Lahad Datu, Sabah.
Program Jualan Murah Keluarga Malaysia pula dilaksanakan sejak Ogos lalu dan memanfaatkan pengguna melalui tawaran harga barangan keperluan asas sehingga 20 peratus lebih murah, berbanding harga pasaran.
Sejak dilancarkan, program itu diadakan di lebih 500 lokasi dan minggu ini dianjurkan di Kanowit, Sarawak.
Berdasarkan impak positif program berkenaan, khususnya untuk isi rumah B40, kerajaan komited untuk meneruskan pelaksanaan program terbabit di seluruh negara meliputi 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), 13 Parlimen Wilayah Persekutuan dan di universiti awam dengan peruntukan RM100 juta.
Sumber: Berita Harian
