Terkini
Tulis buku undang-undang Islam, Profesor bukan Islam menangi anugerah antarabangsa
Profesor sains politik Universiti Notre Dame, Emilia Justyna Powell memenangi dua anugerah Persatuan Pengajian Antarabangsa (ISA) menerusi bukunya yang berjudul ‘Islamic Law and International Law: Peaceful Resolution of Disputes’ terbitan 2020.

- Emilia Justyna Powell, profesor sains politik Universiti Notre Dame memenangi dua anugerah Persatuan Pengajian Antarabangsa (ISA) melalui bukunya ‘Islamic Law and International Law: Peaceful Resolution of Disputes’ yang diterbitkan pada 2020
- Buku setebal 314 muka surat itu menerima Anugerah Buku Undang-Undang Antarabangsa ISA kerana keaslian, kepentingan dan ketegasannya dalam undang-undang antarabangsa serta sumbangannya dalam bidang berkenaan.
- Buku itu juga menerima Anugerah Buku Agama dan Hubungan Antarabangsa ISA untuk kualiti yang sama dalam hubungan agama dan antarabangsa.
- Buku tulisan Powell itu dibaca dan disemak hampir 30 organisasi di 15 negara (termasuk Pusat Pengajian Islam Parlimen Iran) di mana buku akademik terbabit diterima baik ramai pihak.
Profesor sains politik Universiti Notre Dame, Emilia Justyna Powell memenangi dua anugerah Persatuan Pengajian Antarabangsa (ISA) menerusi bukunya yang berjudul ‘Islamic Law and International Law: Peaceful Resolution of Disputes’ terbitan 2020.
Buku setebal 314 muka surat itu menerima Anugerah Buku Undang-Undang Antarabangsa ISA kerana keaslian, kepentingan dan ketegasannya dalam undang-undang antarabangsa serta sumbangannya dalam bidang berkenaan.
Buku itu juga menerima Anugerah Buku Agama dan Hubungan Antarabangsa ISA untuk kualiti sama selain sumbangan bahan bacaan itu dalam hubungan agama dan antarabangsa.
“Saya tidak percaya menang dua anugerah untuk buku ini,” kata Powel yang juga profesor di sekolah undang-undang Universiti Notre Dame, dipetik laman portal Political Science.
“Ia menunjukkan kepada saya bahawa orang ramai terbuka untuk mendengar idea,” katanya.
Buku tulisan Powell itu dibaca dan disemak hampir 30 organisasi di 15 negara (termasuk Pusat Pengajian Islam Parlimen Iran) di mana buku akademik terbabit diterima baik ramai pihak.
Buku itu meliputi perbezaan dan persamaan antara tradisi perundangan Islam dan undang-undang antarabangsa.
Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa menyifatkan buku itu sebagai salah satu karya terpenting mengenai Islam dan hubungan antarabangsa dalam dua dekad lalu.
Dalam menyiapkan buku itu, Powell mengembara di banyak tempat untuk menemubual hakim, penggubal dasar dan pemimpin agama dalam budaya Islam di mana beliau juga melampirkan hampir 60 tahun data asal tentang undang-undang domestik negara Islam.
Powell berkata sebahagian golongan di Amerika Syarikat, termasuk wartawan dan ahli akademik, salah faham tentang undang-undang Islam dan memilih mengekalkan salah faham itu.
Profesor sains politik itu pernah menerima ugutan dan dituduh cuba membawa undang-undang Islam ke Amerika Syarikat berikutan liputan media yang diterima bukunya itu.
“Pendidikan boleh membantu menghapuskan ketakutan dan ketidakpercayaan – dan saya melihat secara langsung betapa pelajar saya berkembang sebagai cendekiawan semasa mereka mengembangkan pengetahuan, pandangan dan perspektif mereka tentang undang-undang Islam dan topik lain setiap semester.
“Jika kita memberi tumpuan kepada persamaan antara sistem ini, dunia boleh menjadi lebih aman,” kata Powell.

You must be logged in to post a comment Login