Terkini
‘Sexual grooming’ terhadap anak sendiri, bapa yang ‘penakut’ – Pakar kaunseling
Baru-baru ini tular kisah yang dibawa oleh pelakon dan juga pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam majlis Anugerah Televisyen Asia 2014. Puteri Balqis binti Azizi, 15, atau mesra dipanggil Aqish telah membuat pendedahan berkaitan gangguan seksual yang dibuat oleh bapa kandungnya.

- Aqish, ibu dan bapanya perlu dapatkan bimbingan dan kaunseling pakar.
- Ia lanjutan isu tular yang dibuat oleh pelakon dan pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Asia 2014, bahawa bapa kandungnya membuat gangguan seksual terhadapnya.
- Pakar Kaunseling Keluarga iaitu Prof. Dr. Siti Aishah Hassan dari Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) menyatakan keluarga tersebut perlu mendapatkan bimbingan kaunseling daripada pakar.
- Datuk Seri Rina Mohd Harun Menteri KPWKM pula menyatakan tindakan siasatan akan diambil terhadap mangsa dan bapanya jika ada laporan rasmi diterima.
KUALA LUMPUR – Baru-baru ini tular kisah yang dibawa oleh pelakon dan juga pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam majlis Anugerah Televisyen Asia 2014. Puteri Balqis binti Azizi, 15, atau mesra dipanggil Aqish telah membuat pendedahan berkaitan gangguan seksual yang dibuat oleh bapa kandungnya.
Pendedahan itu dibongkar dalam bual bicara Podcast yang disiarkan di beberapa laman media sosial termasuk Youtube : Bros Gang Tv pada 3 September lepas.
Wakil media The Merdeka Times (TMT) telah cuba menghubungi ibu kepada Aqish iaitu Norashikin Mohd Aziz bagi mendapatkan komen berkaitan isu gangguan seksual yang dibongkar oleh Aqish. Namun Norashikin berkata, “cukuplah apa yang diberitahu oleh Aqish. Tiada komen daripada saya setakat ini.”
TMT menghubungi Pakar Kaunseling Keluarga iaitu Prof. Dr. Siti Aishah Hassan dari Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mendapatkan komen berkaitan isu tersebut.
Kejadian gangguan seksual yang didakwa dibuat oleh ayah kandung Aqish merupakan ‘Sexual Grooming’ iaitu dapat difahami sebagai perbuatan salah yang dibuat oleh orang yang berkuasa ke atas mangsa, yang tidak berdaya dan membuat gangguan seksual tapi tidak boleh ditolak atau dilawan oleh mangsa itu. Dalam kes ini, perbuatan salah itu didakwa dibuat oleh ayah kandung mangsa sendiri.
Prof. Dr. Siti Aishah berkata tindakan didakwa dibuat oleh ayah Aqish itu sebagai ‘penakut’. Ini kerana ayah kandungnya menggunakan kuasa yang ada pada dirinya dan membuat perkara yang tidak mengikut nilai-nilai norma yang betul. Seperti menonton video lucah di depan anak yang berumur 5 tahun. Membuat onani di depan anak dan isteri serta lain-lain perkara seperti yang didakwa.
Selain daripada membuat laporan polis atas tindakan gangguan seksual, Aqish dan ibu serta ayahnya boleh mendapatkan bantuan bimbingan dan kaunseling daripada pakar-pakar sedia ada di Malaysia.
Nasihat Siti Aishah kepada ‘Pelaku Salah’ atau pemangsa, dia harus berjumpa dengan pakar kaunseling keluarga kerana perlu membetulkan tindakan dan kesalahan yang telah dibuat agar tidak berulang lagi. Ini kerana tuntutan nafsu yang tidak dibimbing dan disalurkan kepada mangsa iaitu anaknya sendiri merupakan kecelaruan minda dalam pemikiran pemangsa tersebut.
Kepada mangsa kejadian seperti Aqish dan ibu mangsa, Siti Aishah berkata, “Jangan takut membuat aduan kepada pihak-pihak berwajib atau pihak berkuasa tentang jenayah seksual yang berlaku. Kalau takut hilang punca pendapatan atau tempat tinggal, pihak kerajaan ada sediakan Rumah Perlindungan, Anjung Singgah atau NGO yang saya sendiri menjadi Presiden iaitu Association of Muslima for Nature and Advocacy (AMNA). Kita boleh sama-sama membantu mangsa dan ibu mangsa keadaan sebegini.”
Sebelum ini TMT telah menyiarkan kebimbangan yang disuarakan oleh Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkaitan dapatan oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan bilangan alamat protokol internet yang sangat banyak serta disyaki menyebarkan kandungan lucah kanak-kanak.
Rina Harun ketika mengulas hal ini berkata, “Jika betul ada, kita akan panggil dia dan bapanya untuk disiasat serta tidak teragak-agak ambil tindakan tegas di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Namun setakat ini belum ada laporan rasmi diterima pihaknya dan beliau juga baru mengetahui perkara itu menerusi laporan media.” – The Merdeka Times.
