Antarabangsa
Pernah jadi tahanan Taliban, ahli akademik Australia peluk Islam dan kembali ke Afghanistan
Seorang ahli akademik Australia yang sebelum ini pernah menjadi tebusan Taliban, kini kembali ke Afghanistan bagi “meraikan” setahun pemerintahan Emeriyah Islam Afghanistan (IEA).

- Timothy Weeks adalah bekas guru di Universiti Amerika di Kabul ketika beliau diculik dan ditahan Taliban pada 2016.
- Dia dan seorang lagi rakan setugasnya dari Amerika Syarikat (AS) ditahan selama tiga tahun sebelum dibebaskan pada 2019 melalui perjanjian pertukaran tahanan.
- Sejak pembebasannya, Weeks telah memeluk Islam dan beberapa kali memuji kerja-kerja Taliban.
- Bekas guru itu tiba di Kabul beberapa hari lalu bagi menyatakan sokongan kepada Emeriyah Islam Afghanistan (EIA) yang menyambut setahun pemerintahannya pada 15 Ogos 2022, walaupun tindakannya itu dilarang kerajaan Australia.
AUSTRALIA – Seorang ahli akademik Australia yang sebelum ini pernah menjadi tebusan Taliban, kini kembali ke Afghanistan bagi “meraikan” setahun pemerintahan Emeriyah Islam Afghanistan (IEA).
Timothy Weeks yang juga seorang guru di Universiti Amerika di Kabul ketika beliau dan rakan sekerjanya dari Amerika Syarikat (AS), Kevin King, diculik dan dijadikan tebusan selama tiga tahun bermula 2016.
Taliban pernah mengeluarkan video-video ketika mereka berdua ditahan dan berada dalam keadaan kurus dan pucat.
Dalam salah satu video itu, Weeks merayu kepada Malcolm Turnbull, Perdana Menteri Britain ketika itu, untuk merundingkan pembebasannya.
Satu perjanjian pertukaran tahanan pada 2019 berlaku menyaksikan dua lelaki terbabit dibebaskan sebagai pertukaran pembebasan tahanan, termasuk Anas Haqqani, yang kini antara komander tertinggi Taliban.
Guru yang berasal dari Australia itu telah memeluk Islam selepas pembebasannya dan beberapa kali memuji pihak Taliban.
Tiba di Kabul beberapa hari lalu, beliau mengulangi sokongannya kepada pemerintahan Taliban di Afghanistan.
“Dulu saya datang ke sini dengan impian untuk belajar tentang Afghanistan dan saya datang kembali untuk melengkapkan perjalanan itu dan ini adalah bahagian kedua perjalanan itu,” katanya.
“Saya juga kembali ke sini bagi meraikan ulang tahun kerajaan Emiriyah Islam Afghanistan yang pertama,” kata Weeks.
Biarpun pernah menjadi tebusan selama tiga tahun sebelum rundingan dibuat kerajaan Australia dan Amerika Syarikat untuk membebaskannya, Weeks menganggap tindakannya kembali ke Afghanistan sebagai keputusan tepat.
“Saya seorang bekas tahanan. Ia bukannya mudah… saya pernah dipukul dengan teruk… tetapi setelah melalui segala keperitan itu, saya masih ke sini semula.
“Mengambil keputusan ini juga bukanlah sesuatu yang mudah bagi saya. Walaupun keluarga saya amat bimbang, saya hanya bertawakal kepada Allah serta saudara-saudara saya di sini (Afghanistan),” kata Weeks.
Berhubung pemergian Weeks ke Afghanistan, jurucakap Jabatan Hubungan Luar dan Perdagangan (DFAT) menegaskan rakyat Australia tidak sepatutnya pergi ke negara konflik itu atas faktor keselamatan dan ancaman pengganas.
“Warga Australia di serata dunia yang berurusan dengan Taliban akan dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang sekatan Australia,” kata kenyataan agensi pihak berkuasa terbabit.
Sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang sekatan itu boleh dikenakan pelbagai hukuman, termasuk penjara sehingga 10 tahun atau hukuman denda.
Sumber: ABC News
